Friday, January 22, 2010

Siap untuk dibaca







Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...

Sebuah novel lagi siap untuk dibaca.Berapa kekerapan selepas ini pun masih saya belum ketahui lagi.Bergantung pada penceritaan.Apa yang pasti,semestinya novel ini yang saya nanti-nantikan.Selama 3 bulan lamanya mengambil masa merentas lautan,benua,dan selat..akhirnya..sampai juga.Kredit diucapkan kepada saudari nur fatin kamaruddin atas jasa beliau,(nak pinjam...nanti ya..heheh)..terima kasih.

Bukan sekadar novel

Lentera mustika ini,banyak manfaat sebenarnya.Menyelami watak-watak mereka dijurusan ''undang-undang'',membuatkan saya berjaga-jaga dengan perkataan ''objection''...bukan sekadar novel.Saya pasti,mereka yang jurusan law,mesti sukakan novel tersebut.Percintaan?bukanlah hadaf saya.Saya kurang membaca novel cinta yang tak sudah-sudah cintanya.Menggunakan nama sahaja yang bombastik,tapi kosong.Saya memilih novelis dan penulisan.Mutu dan bahasa juga diutamakan.

Kebiasaannya,karya kak nisah memang tidak mengecewakan pembaca.Kak nisah,menjadi penulis sepenuh masa selepas meletakkan jawatan sebagai peguam ketika 'untung' tandang dalam kehidupan beliau.Dari peguamcara,kemudian peguam bela dan peguam syariah...akhirnya..menjadi penulis!!

Apapun,terima kasih kak nisah haron yang telah saya maklumkan mengenai novel beliau ini.Terima kasih kak atas ucapan yang satu itu.Selepas ini apa pula ya?Natrah-Fatini Yaakob...Tawarikh Cinta-Nisah Haji Haron...Perempuan Politikus Melayu-Haji Faisal Tehrani..entahlah..(balik malaysia baru fikirkan)..


Jom Membaca!!

Al-Baihaqi

Qamrah



Wednesday, January 20, 2010

Fragmen Ranggau


cover-ranggau-baru









Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...

Alaf 21 terkebelakang?hairan..apapun,selamat membaca fragmen ranggau ini.Kredit untuk Alaf 21 dan ''budak hutan''.Mohon maaf ya..


RANGGAU

Inspektor Solehin memeriksa kereta Proton Iswara yang ditinggalkan di kawasan letak kereta berhampiran Bar Bistro. Riak mukanya tampak tegang. Tidak terdapat tanda-tanda kereta itu dilanggar atau sebarang kesan yang boleh menimbulkan sesuatu telah berlaku ke atas Rusdi.
Ursula yang berdiri di situ sekadar memerhatikan sahaja tingkah laku Inspektor Solehin. Roman wajah Ursula juga tampak tegang. Pencarian Janet kini membawa malapetaka baru pula. Janet telah hilang. Begitu juga dengan Rusdi. Kejadian itu seolah-olah ada hubungkaitnya.
Inspektor Solehin mendekati Ursula. Segumpal keluhan berat melewati kerongkongnya.

“Macam mana?” Ursula bertanya.
“Berat!” Inspektor Solehin menggelengkan kepala. Dia takut sesuatu berlaku pada Rusdi.
“Berat macam mana tu?” Ursula inginkan kepastian. Hatinya kain cemas.
“Saya suspect sesuatu telah berlaku kepada Rusdi. Cuma motifnya masih terlalu awal untuk saya rumuskan,” kata Inspektor Solehin.
“So, apa yang perlu saya buat?” tanya Ursula.
“Buat laporan polis mengenai kehilangan Rusdi. Dengan cara ini kami akan bertindak,” cadang Inspektor Solehin.
Ursula terdiam sejenak. Hatinya berkata, bagaimana aku nak terangkan pada papa? Kehilangan Janet belum dapat diselesaikan, kini timbul pula masalah lain!

“Saya rasa lain macam saja,” keluh Inspektor Solehin meluahkan perasaannya.
Ursula masih tidak bersuara, sekadar memandang lelaki itu dengan wajahnya berkerut. Beban masalah sudah mula dirasakan.
“Petang kelmarin, Rusdi jumpa saya. Dia buat report fasal seorang pemandu yang cuba melanggar kamu berdua.” Ursula tercengang mendengar penjelasan itu. “Saya yakin, Rusdi datang lagi ke tempat ini untuk mencari lelaki Cina tu. Dia kelihatan risau sebab usaha mencari Janet masih belum membuahkan hasil,” sambung Inspektor Solehin lagi. “Mungkin kerana kerisauannya itu dia nekad bertindak sendirian.” Inspektor Solehin mengeluh panjang. “Saya kenal benar Rusdi tu. Dia tak akan berasa senang selagi tanggungjawabnya belum selesai.”
Ursula terdiam, berfikir panjang.

“Dah tiba masanya untuk pihak polis bertindak,” tegas Inspektor Solehin. “Bagaimanapun, pihak kami perlukan kerjasama daripada Cik Ursula.”
Ursula mengangguk. “Ya, dah tiba masanya. Dan perkara ini tak boleh dibiarkan berterusan.” Ursula akur.
“Saya risau,” keluh Inspektor Solehin.
“Saya juga risau tentang keselamatan Rusdi. Kehilangan Janet pula tak boleh diremehkan lagi,” kata Ursula.
“Apa kata, Cik Ursula lakukan sekaligus. Buat report kehilangan Rusdi dan Janet.” Inspektor Solehin menyarankan. Wajah Ursula berkerut.
“Dengan cara itu akan memudahkan pihak kami bertindak.”
“Tak bolehkah pihak polis bertindak saja?” tanya Ursula
“Boleh... itu boleh... tapi pihak kami perlukan kerjasama, Cik Ursula jugak.”

“KERJASAMA?” Lelaki tua itu terkejut.
“Ya, kerjasama, papa. Polis kita cekap. Mereka boleh menyelesaikan masalah itu. Tetapi kita mesti bantu mereka.” Ursula berhujah memujuk Tuan Gimbang.
Tuan Gimbang merengus. Air mukanya tegang.
“Sekarang Rusdi dah hilang, papa. Kehilangan Rusdi berkaitan dengan kehilangan Janet. Kita tak boleh diamkan saja perkara ni, papa.” Ursula berdiri menghadap papanya. Ketika ini mereka dua beranak berada di anjung banglo. Berbual dan berbincang.
Tuan Gimbang masih membisu dan membatu diri. Roman mukanya sahaja yang seringkali menunjukkan reaksi apabila Ursula mengutarakan permasalahan itu.
“Papa? Please!” Ursula merayu.
Tuan Gimbang memandang anak gadisnya itu. Bola matanya bulat dan berkaca. Menerkam pandangan. “Perlukah papa buat begitu?” Dia bersuara agak perlahan tetapi berbaur marah.
Ursula mengangguk. “Demi Janet dan Rusdi, papa,” kata Ursula merayu lagi.

Sejenak Tuan Gimbang melarikan anak matanya. Melontar pandangan ke arah laut. Saujana lautan yang membiru berombak kecil dan memantulkan cahaya matahari yang sudah pun beranjak melintasi garis tepat di atas kepala.
“Papa... please.” Ursula tidak jenuh memujuk.
Tuan Gimbang diam lagi. Otaknya ligat berfikir untuk membuat keputusan. Menimbangkan perkara itu semasak-masaknya. Dia mengela nafas panjang, meraih kekuatan jiwa.
“Kita perlu berusaha, papa. Kita tak boleh biarkan masalah ini berterusan. Lagipun, kita tak rugi apa-apa.” Ursula tidak berputus asa.
Tuan Gimbang mengeluh berat. Menyapu muka dengan kedua-dua belah tapak tangan. Jelas sekali agak sukar untuk dia membuat keputusan. Namun dia jauh lebih tenang menghadapi semua itu berbanding keadaannya sebelum ini.

“Papa sayangkan Janet?” Ursula bertanya.
Secara spontan Tuan Gimbang mengangguk. “Papa juga sayangkan Rusdi.” Terus-terang dia mengatakannya. Memang benar! Sejak dia mengenali Rusdi, dia berasa satu kekuatan menyerap dalam dirinya. Rusdi anak orang lain tetapi Tuan Gimbang berasa anak muda itu macam anaknya sendiri. Rusdi banyak memberi perhatian kepada dirinya yang tua ini. Apabila berbual-bual, mereka berdua selalu berterus-terang dan Rusdilah tempat dia meluahkan rasa hati yang sudah lama dipendamkan.

Ursula? Bukan dia tidak yakin dengan anak gadisnya itu. Tetapi Ursula lebih banyak berfikir tentang dirinya sendiri. Anak gadisnya itu bukan seorang wanita yang sombong. Tetapi Ursula masih terkongkong dalam perasaannya sendiri. Ursula masih mentah menilai perasaan seorang tua seperti dirinya.
Janet? Anak keduanya itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ursula. Janet anak manja. Apa sahaja yang dikehendaki mesti dituruti. Dunianya hanya hiburan semata-mata. Janet masih belum layak memikul sebarang tanggungjawab. Janet terkurung dalam dunia khayalan semata-mata. Masih terlalu mentah dan kadangkala tidak tahu menilai antara yang baik dan yang buruk.

Tuan Gimbang tenggelam dalam fikirannya sendiri. Mencongak-congak satu strategi yang benar-benar memberi manfaat pada diri dan keluarganya. Memikirkan maruah diri dan imej syarikat.
“Papa...”
Tuan Gimbang bangkit semula dari lubuk fikiran yang jauh melayarkan dirinya ketika ini. Tuan Gimbang mengangguk, mengisyaratkan persetujuannya. Wajah Ursula menguntum senyum.
“Papa mahu Ursula sendiri yang buat laporan polis,” tegas Tuan Gimbang.
“Terima kasih, papa.” Ursula melonjak gembira. Lantas dia memeluk tubuh papanya dan mengucup pipinya.

Tuan Gimbang kelihatan malu. Sekadar senyuman yang terukir di bibirnya. Kasih sayang seorang anak menyerap dalam kalbunya.
“Pergi sekarang,” kata Tuan Gimbang. Nada suaranya agak merendah tetapi memerintah.
Ursula mengangguk dan tersenyum. Gembira sungguh hatinya mendengar keputusan papanya itu. Ini bermakna pihak polis akan campur tangan dalam menangani masalah itu. Kemudian Ursula segera beredar dari situ.
Setelah melihat Ursula keluar, Tuan Gimbang segera memutar roda kerusi dengan kekuatan kedua-dua belah tangannya. Dia segera mendapatkan telefon. Gagang diangkat dan nombor didail.
Deringan telefon dibiarkan berpanjangan. Agak lambat Kim menjawab panggilan itu. Tidurnya terlalu lama. Terlalu nyenyak.
Kim tidur sepanjang hari. Rutin hidupnya setiap hari agak aneh. Kim tidak suka keluar rumah pada waktu siang. Dia lebih suka berkurung ataupun tidur sahaja. Pada waktu malam pula dia suka merayau-rayau. Mencari mangsa untuk memenuhi kehendak tuannya. Dia adalah Ranggau dan tuannya itu juga adalah Ranggau. Merekalah Ranggau yang nyata. Hamba kepada Ranggau alam kedua. Walaupun berlainan alam namun sikap mereka sudah sebati. Melanggar dan menderhaka perintah Tuhan.
Suasana samar menyelubungi bilik tidur Kim. Cahaya matahari dari luar sekadar berbalam menembusi langsir tingkap. Kim tidak tahan terkena cahaya matahari yang terlalu terik. Malah sinaran lampu yang terlalu terang juga begitu. Kulit mukanya akan mengelupas, kemerah-merahan dan terasa perit.

Deringan telefon berhenti. Kemudian selang lima saat berdering lagi. Kim merungut panjang. Menyumpah seranah. Tidurnya terganggu. Lambat-lambat dia mengangkat gagang telefon.
“Helo....” Suara Kim serak.
Satu suara bergema menerusi corong telefon. Suara itu memang dikenali. Suara yang memerintah dia melakukan pembunuhan.
Kim segera bangkit, melonjak bangun. Seperti disimbah dengan air, tiba-tiba sahaja Kim berasa segar walaupun pandangannya masih berpinar lagi.
“Helo... ya...” Kim diam sejenak apabila suara menerusi corong telefon itu bercakap. Berhenti sahaja, Kim pun menjawab.
“Ya, aku dah campak dia di bawah bukit. Aku pasti dia dah mati sekarang.”
Kim diam lagi apabila suara itu bercakap. Kim terangguk-angguk. Setelah suara itu berhenti, Kim lekas menjawab, “Ya, aku yakin dia dah mati!” Air muka tampak tegang.

“Ada mangsa baru. Gambar dan butir-butir diri sekejap lagi aku faks. Ingat! Jangan tergopoh-gapah!” kata suara itu.
“Aku akan uruskan!” Kim terangguk-angguk sambil menyelak rambutnya yang kusut ke belakang.
Talian terputus serta-merta apabila perintah itu telah diamanahkan. Kim merengus. Perlahan-lahan dia meletakkan gagang telefon. Dia membaringkan semula tubuhnya di atas katil. Sambil merenung siling dia leka dalam lamunannya. Kim tidak ubah seperti seorang hamba. Akur dan patuh pada perintah.

Sekian,selamat membaca...

Al-Baihaqi,

As-Sidq


Tuesday, January 19, 2010

Rona-rona Syahadah



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...

Saya sukakan puisi,maka..saya cuba mencipta..

Karya yang sudah lama..tak mahu dikenang..tapi,terpaksa juga dikenang..alasannya?
Apresiasi saya yang sudah mencecah setahun lamanya...ini contoh puisi yang langsung tidak boleh diambil iktibar,kerana..bahasanya,kisah disebaliknya,dan tajuknya pun sudah memeningkan pembaca..tiada pemahaman..langsung tiada tarikan!!!

Jom mencuba!!

Rona-rona Syahadah

Kejernihan,
Tirai azimat terserlah diwajahmu,
Terpancar rongga Nur Iman,
Pembuka hijab suasa untukmu,
Teristimewa,bergemerlapan,
Mekar senyumanmu,
Limpahan rahmat kesyukuran,
Lantas dipanjatkan.

Pantas mengalir dumu'mu,
Mengalir bagaikan limpahan kauthar,
Sehangat sungai di raudhahMu,
Sejernih manik-manik keinsafan,
Tanda kebebasan azabNya,
Kala hari perhitungan.

Wahai sutera putih,
Harumnya dirimu disaat ini,
Bagaikan anggerik buatmu,
Seiring rona-rona syahadah,
Terukir dibibirmu,
Bergelar muallaf mujahadah.

P/S ; kepada saudara rahim dan saudara syeikh mustaqim,puisi sedia untuk dicincang..(saudara fakhruddin Ar-Razi kalau nak cincang juga,silakan..langua atma la katakan)huhu

Aspirasi diri,

Al-Baihaqi

~Qamrah~

Wednesday, January 13, 2010

Maaf


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum..

Sahabat sekalian,

Maaf diatas entry saya sebelum ini yang terlampau mengikut perasaan tanpa memikirkan impaknya kelak.Segalanya...saya titipkan disini,adalah dari hati saya sebenarnya..maka,saya rasa begitu bersalah jika saya asyik menulis artikel ilmiah,pada masa yang sama...saya tidak men'tatbiq'kannya dalam kehiudpan seharian.Moga Allah mengampuni dosa saya.Terima kasih buat sahabat-sahabat saya yang banyak sekali cuba memberikan nasihat serta kata-kata semangat.Jasa kalian,tidak pernah saya lupakan.Terima kasih.

Apa yang boleh saya nyatakan disini,banyak pengajarannya apabila diri kita seperti ditertawakan oleh syaitan.Kerana...waktu sebeginilah yang syaitan,iblis serta keturunannya bergembira kerana hati manusia lemah.

Allahu rabbi,moga-moga saat ini ianya menjadi pengajaran buatku.Lindungilah daku Ya Allah dari fitnah dajjal laknatullah dan fitnah dunia.Dunia semata-mata sehingga taksub kepadanya tidak menjamin aku kemana-mana melainkan neraka jahannam Ya Ilahi.Moga-moga aku mengambil iktibar.

HambaMu Ya Allah,

Al-Baihaqi,

Maison du Kamra,Rabat.


Monday, January 11, 2010

4 kunci Sabar

Motivasi :



Bismillahirrahmanirrahim...


Assalamualaikum...


4 jenis kesabaran

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti kita menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.
Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu di dalam bahasa arabnya disebut (dabtun nafs) dan lawannya (al-batr).

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)
Para cendekiawan juga ada membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan yang menzalimi orang laian yang pada lahirnya merka mendapat nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

- Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

- Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

- Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.Kesabaran seorang ibu terhadap kerenah anak-anaknya,sabar seorang ayah selaku ketua keluarga,sabar seorang guru terhadap akhlak anak didiknya dan sabar seorang sahabat terhadap sahabatnya yang disayangi untuk memahami sifat mereka.

Dan pernahkah terlintas dibenah fikiran kita Sabar Allah terhadap kita selaku hambaNya,maka..melalui sabarlah segalanya akan menjadi sempurna dalam hidup.Tiada perselisihan faham,tiada pergaduhan,tiada persengketaan... sesungguhnya,wujudlah keserasian,kesefahaman,kebahagiaan dan keamanan.

Tiada guna bersengketa sesama sendiri.Kerana yang berada dipihak ketiga adalah syaitan sebenarnya.Berdamailah...jika tidak juga MAMPU..maka berSABARlah jalan yang terbaik.

Mohon maaf sesiapa yang ada terasa dengan saya,saya insan yang lemah.Dan yang lemah perlu dibimbing,bukanlah perlu dikritik.

Wallahua3lam.

Sekian.


Friday, January 1, 2010

2 Laut...bukti kebenaran Al-Quran





Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...

Teringat lagi soalan yang diajukan oleh saudara Mohamad Zakhir (ahli bait saya) berkenaan laut yang airnya bertemu tapi tidak bersatu.Puas saya selongkar dan bertanya pada ustaz-ustaz saya akan laut tersebut.Saya sendiri sudah berjanji kepada beliau untuk cuba menjelaskan tentang sungai yang dirakamkan Allah taala didalam Al-Quran menerusi surah Ar-Rahman ayat 19-25.Dua sungai yang tidak bercampur airnya.
Firman Allah Taala;

19-Dia membiarkan lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu,

20-Antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing

21-Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

22-Dari keduanya keluar mutiara dan marjan

23-Maka nimat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

24-Dan kepunyaanNyalah bahtera-bahtera yang tinggi layarnya dilautan laksana gunung-gunung.

25-Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Maka,saya akan melunaskan janji saya kepada beliau insyaAllah.Bab ilmu jangan diambil kira.Ini sekadar perkongsian bersama.Moga Allah melimpahkan rahmat keatas usaha kita untuk mencari kebenaran Allah yang secara terang-terangan termaktub dalam furqan.

Pada ayat lain iaitu dalam surah Al-Furqan ayat 53;

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi."




Kawasan pertemuan dua sungai yang mempunyai kandungan garam dan air yang panas akan tetapi kedua-dua sungai tersebut telah terpelihara demi kegunaan makhluk Allah Taala.Mungkinkah ini terjadi secara semulajadi sebagaimana dakwaan mulhidin?

Pada ayat ke 20,menerusi ayat 'la yabghiyan',kita akan dapati maksudnya,'masing-masing'.Adapun mengikut ulama tafsir 'la labghiyan' itu bermaksud 'masing-masing yang tidak menghendaki'.Melalui tafsiran kalimah tersebut dapatlah kita faham disini,bahawa dua laut itu adalah tercerai atau tidak bertemu airnya yang mana sebelah laut mempunyai kandungan garam serta disebelahnya mempunyai air yang panas.Tercerainya air laut itu juga kerana dibatasi oleh tanah genting.

Pada pakar kelautan (oceanology) mengatakan bahawa sifat yang paling ketara dari laut dan airnya adalah laut dan airnya tidak pernah tetap ,tidak pernah tenang, dan hal yang paling jelas sekali adalah ia selalu bergerak,panjangnya,lebarnya, dan gelombang airnya, arah pergerakannya adalah diantara faktor-faktor yang banyak mempengaruhi keadaan air laut.


Dari sini ada satu pertanyaan:Kalau betul begitu keadaannya, maka kenapa air-air yang berbeza itu tidak bercampur dan tidak bersatu (melebur) menjadi satu jenis?maka mereka pun mempelajari, meneliti, dan menelahnya. Dan akhirnya mereka menemukan jawapannya, iaitu bahawa ada "dinding air sebagai pembatas" yang memisahkan setiap pertemuan dua laut dalam satu tempat, baik di dasar samudera atau pun di dalam jurang (dalam lautan) itu sendiri. Tempat inilah yang ternyata memisahkan antara laut yang satu dengan laut yang lainnya.

Maha suci Allah yang menjadikan bulan dan bintang,awan dan langit,matahari,cakerawala serta seisi alam semesta ini hatta dua lautan tersebut.Sungguhpun begitu,masih ramai lagi yang kufur dan ingkar dengan kekuasaan Allah Taala lantas lansung tidak beriman dek kerana asyik mengejar dunia.

Firman Allah taala;

''Semua yang ada dibumi itu akan binasa''

Sekian,wallahua'lam.

Sunday, December 20, 2009

Fragmen 9 Nyawa

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum...

Ini bukanlah hasil karya saya,sekadar ingin berkongsi dengan sahabat di Morocco (mereka yang suka baca novel sahaja).Malaysia tentu sekali jauh dari sini.Meskipun dah balik malaysia,mesti tak terbaca punya.Jadi,insyaAllah silakan baca diruangan dhaif ini.Ini adalah fragmen.Bukanlah novel yang lengkap.

Segala kekurangan saya dahului dengan ungkapan maaf.Kredit diucapkan buat saudara 'akimsensei' dan Alaf 21.Terima kasih!(sebab kerana izin akim la saya dapat siarkan fragmen dari alaf21 ini).Bissihhah!!

p/s:Mereka yang berada di Malaysia sila jangan ketawakan kami.Anda hampir dengan kedai buku.Mudah untuk beli.

Fragmen 9 NYAWA -Ramlee Awang Murshid

DALAM setahun ada 12 bulan, 52 minggu, 365 hari, 8,760 jam dan 525,600 minit. Hidup ini memerlukan nyawa yang kental... yang terhasil daripada pacuan semangat dalam menempuhi kehidupan sehari-hari. Dan sehari-hari itu jugalah kita bernafas selama bertahun-tahun sehingga kematian mendatangi kita dalam pelbagai cara. Aku hidup atas tunjangan nyawa menempuhi banyak rencah kehidupan. Namun, hidupku berubah semenjak mengalami tragedi berdarah 19 tahun lalu. Duniaku menjadi gelap gelita. Dengan kuasa ALLAH... aku terdengar suara-suara asing melegari kehidupanku. Bukan suara manusia... tetapi suara-suara halus yang membingitkan. Pada mulanya aku ketakutan. Lama-kelamaan, ‘mereka’ menjadi sebahagian daripada kehidupanku. ‘Mereka’ kuanggap seperti suara-suara manusia biasa.

Saban waktu kudengari seiring rentak nafasku menunjangi nyawa dalam jasadku. Sehingga sukar sekali aku membezakan mana suara yang hidup dan mana pula suara yang mati. Hidup dan mati seolah-olah terus bernyawa tanpa mengelirukan fikiranku. ‘Mereka’ adalah kehidupan yang beransuransur ‘mati’.

Mujurlah duniaku gelap gelita. Kalau tidak, sudah pasti aku tidak sanggup melihat ‘mereka’ berkeliaran dalam bentuk yang sukar diterima akal. Ternyata, akal itu terbatas ruang lingkupnya. Igauan itu tidak pernah berhenti di alam mimpi. Ia terus mendatangi membatasi sempadan kehidupan; tempat peralihan orang hidup dan mati. Mereka seolah-olah bersatu.

Mujur jugalah mata hati itu tidak pernah berdusta. Hati yang tulus ikhlas pasti menemui kebenaran biarpun kebatilan tersembunyi jauh ke dasar jiwa. Kerana lidah pasti berbohong untuk menyembunyikan kejahatan.

Prolog

Hospital Tan Tock Seng,
Singapura Januari 2009

INTAN SURYANI berdiri di luar sebuah bilik ICU. Tercegat di hadapan pintu cermin yang berfungsi secara automatik. Kelopak matanya terkerdip-kerdip. Nafasnya agak kencang. Debaran di dada berdentam-dentum seumpama bunyi guruh di langit. Dia melegarkan pandanga n. Jururawat-jururawat di situ bertugas seperti biasa. Terdapat seorang dua doktor sedang merawat beberapa orang pesakit. Lekas-lekas dia menoleh semula ke arah bilik ICU itu. Dia bergerak empat langkah ke hadapan. Pintu bercermin tidak terbuka. Sedangkan dirinya berjaya menembusi halangan itu. Dia terkejut. Lantas, ditatap kedua-dua tapak tangan yang tiada terkesan apa-apa. Sejurus matanya berkalih ke arah pesakit yang terlantar tidak sedarkan diri yang terbujur keseorangan di situ. Ketika itulah nafasnya tersentak seakanakan terencat di hujung nyawa.

Pesakit yang koma itu adalah dirinya sendiri, lengkap dengan bantuan mesin pernafasan. Dia menggapai wajahnya sendiri. Namun, sentuhan itu bersifat halimunan. Tidak tercapai apa-apa melainkan menggapai angin sahaja. Dia berundur tidak keruan, cemas bukan kepalang. Rusuhan perasaan bagaikan taufan besar dari arah laut selatan. Dia menerpa keluar bilik, berteriak dan berlari ke sana ke sini. Namun, jeritannya tidak didengari oleh se siapa pun yang berada di situ. Malah, dirinya sendiri tidak dapat dilihat. Bersifat halus meskipun bernyawa dalam lingkaran kehidupan manusia biasa.

Kerana diamuk perasaan cemas, dia kembali semula ke bilik itu. Air matanya tumpah apabila melihat dirinya sendiri terbaring seperti mayat. Keseorangan tanpa sesiapa berada di sisi. Pada masa yang sama, ingatannya memudar. Hanya wajah ibu tersayang dan suami tercinta sahaja yang tetap subur dalam fikirannya kala ini. Tapi, mana mereka?! Dia bergegas keluar dari situ, tercari-cari. Air matanya berlinangan. Di situ, ramai orang sedang menunggu. Ada yang termenung jauh. Tidak kurang juga yang me nangis ter esakesak. Situasi itu membuatkan dia bergelumang ke takutan. Kelam-kabut dia mendapatkan sesiapa sahaja yang berada di situ yang sudi membantu, namun tiada seorang pun yang menunjukkan sebarang reaksi. Biarpun terjerit terlolong, tiada seorang pun yang memandang ke arahnya. Apa dah jadi pada aku ni? Semakin lebat tangisannya. Pandangan dilegarkan lagi. Setelah suasana di situ diamat-amati, barulah dia faham. Dia kini berada di sebuah hospital – di tingkat enam – wad Unit Rawatan Rapi. Dia terduduk. Kedua-dua tapak tangan meraup wajah dengan mata yang terpejam rapat, mengharap semua ini hanyalah sebuah mimpi sahaja. Keseorangan dalam lingkungan kehidupan manusia hidup. Sedangkan dirinya berada di antara hidup dan mati. Terperangkap di tengah-tengah. Bernyawa... tetapi tidak dapat dilihat ataupun disentuh oleh orang lain.

SEKETIKA, Intan Suryani terlupa tentang jasadnya yang terbujur di ICU. Dia merayau-rayau ke sana ke mari, menegur sesiapa sahaja walaupun tiada seorang pun yang men dengar suaranya. Hidupnya umpama angin dan bayang-bayang. Angin dapat dirasa biarpun tidak terlihat, manakala bayangbayang pula dapat dikesan meskipun tidak tercapai. Akhirnya, dia menyerah. Terpaksa jua menerima hakikat. Bersendirian dalam dunianya sendiri. Seperti terkurung dalam cermin. Langkahnya yang longlai menapak sampai ke luar bangunan hospital. Di situ, dia duduk di sebuah kerusi plastik berwarna kuning. Di sebelahnya seorang lelaki berpakaian kemas dan berkaca mata hitam. Sekilas dia memerhatikan lelaki itu langsung tidak menoleh ke mana-mana, terarah ke hadapan sahaja. Dia menghempaskan sebuah keluhan. Nafas kasar yang terluah dari lubuk jiwa paling dalam.

“Kenapa kamu mengeluh?” tanya lelaki itu. Intan Suryani terperanjat. Lekas dia menoleh ke arah lelaki itu.

“Awak nampak saya?”

“Tak...” Lelaki itu menggeleng sambil tersenyum kecil. Intan Suryani bangkit dari duduk, lalu berdiri di hadapan lelaki itu.

“Sekarang... awak nampak saya?”

“Saya hanya mampu mendengar suara kamu saja.”

“Saya... saya... Intan Suryani. Awak?”

“Saya Hakim.” Mereka berkenalan dalam lingkaran situasi paranormal.

“Awak mesti tolong saya... please!” pinta Intan Suryani penuh mengharap.

“Insya-ALLAH...” balas Hakim. Senyuman ikhlas masih menggayuti bibirnya. Kejujuran terpancar di wajahnya. Intan Suryani seperti menemui sebutir cahaya. Dia cuba memegang lengan Hakim, tetapi tidak tersentuh. Sama seperti angin menggapai objek. Tembus dan hanya meninggalkan rasa sejuk. Hakim meraba-raba lengannya. Kepalanya tergerak sedikit ke arah Intan Suryani. Senyumannya perlahan-lahan mengendur. Gilirannya pula mengeluh. Sekadar hembusan nafas halus.

“Kamu betul-betul dalam kesusahan sekarang,” ulasnya.

“That’s right... sebab tu saya perlukan bantuan awak, Hakim.” Hakim terdiam sejenak. Tidak lekas memberi jawapan.

“Bukalah spek hitam tu. Rimaslah! Saya tak selesa nak bercakap macam ni.” Teguran itu membuatkan Hakim tersenyum semula. Sebuah motosikal muncul di pekarangan, berhenti tidak jauh dari tempat dia menunggu. Penunggang motosikal itu membunyikan hon dua tiga kali.

“Itu adik saya. Namanya Shauqi,” ujar Hakim.

“Oh...” Intan Suryani memandang ke arah penunggang motosikal itu.

“Saya balik dulu.” Hakim berdiri.

“Nanti dulu... saya...” Intan Suryani terhenti berkata-kata apabila Hakim mengeluarkan tongkat lipat dari saku seluar. Tongkat itu dibuka menjadi panjang. Hakim terus berjalan sambil tongkatnya mengetukngetuk lantai jalan, menapak perlahan-lahan mendapatkan adiknya. Hakim... buta? Intan Suryani tergamam sejenak. Sorotan matanya hanya terarah kepada Hakim sahaja, yang semakin menjauh daripada pandangan.

BAB 1

Lebuhraya Utara-Selatan
Mac 1990

KEMALANGAN dahsyat berlaku di Kilometer 270.9 berhampiran kawasan R&R Seremban. Sebuah kereta mewah dari arah selatan melanggar sebuah kereta kecil model akhir 80-an. Dentuman kuat kedengaran hampir satu kilometer dari tempat kejadian. Kedua-dua kenderaan menghentam pembahagi jalan se belum berpusing ke tepi. Kereta jenis mewah terlambung dan terhentak di bahagian hadapan. Bahagian enjin remuk. Pemandu kereta itu terhumban keluar setelah terempuh cermin hadapan dan mati serta-merta. Isteri pemandu itu pula hanya cedera ringan sahaja. Anak perempuan mereka pula pengsan.

Namun, sekadar mengalami luka kecil. 8 Manakala kereta yang sebuah lagi terpusing-pusing di udara setelah dirempuh kuat dari arah tepi dan berputarputar lagi di tanah sebelum berhenti dalam keadaan terbalik. Keadaan fizikal kenderaan itu sudah hilang bentuk asal. Remuk habis! Cerminnya pecah berderai. Beberapa kenderaan yang melintasi tempat kejadian berhenti di tepi jalan. Mereka tertinjau-tinjau. Ada yang berhenti dan berusaha menolong. Sekelip mata sahaja kawasan itu menjadi riuh dan sesak. Pusat kawalan Lebuhraya PLUS di Tol Sungai Besi yang dapat mengesan kemalangan tersebut menerusi kamera litar segera menghubungi pihak polis dan pasukan bomba. Pasukan peronda PLUS pula segera dikejarkan ke sana. AZIZAH mengerang kesakitan, meraung-raung apabila me lihat mayat suaminya berlumuran darah. Dua orang lelaki bertungkus-lumus mengeluarkannya dari kereta. Usaha itu tidak sukar kerana tubuhnya tidak tersepit.

“Intan! Intan!” jerit Azizah.

“Bawa bertenang, puan. Kami akan keluarkan anak puan,” pujuk seorang lelaki.

“Intan! Intan!” Azizah menangis teresak-esak dengan tubuh yang menggeletar. Cermin belakang terpaksa dipecahkan kerana pintunya tersekat untuk menyelamatkan Intan Suryani yang berusia sepuluh tahun. Serta-merta Azizah menerpa memangku anaknya yang masih tidak sedarkan diri. Dia meraung-raung memanggil anaknya itu. Tiba-tiba, seekor kucing berbulu kuning keemasan muncul dari jalan lama di luar kawasan lebuh raya itu. Entah dari mana. Tiada seorang pun yang mempedulikan ke hadiran binatang jinak itu. Ia menjilat-jilat tapak tangan Intan Suryani. Azizah yang melihat kejadian pelik itu tidak mampu 9 berbuat apa-apa. Semua itu tidak dipedulikan lagi. Kurang setengah jam, siren bomba dan polis kedengaran semakin mendekat. Anggota-anggota pasukan bomba berkejaran menyelamatkan mangsa-mangsa kemalangan. Pihak polis pula mengawal lalu lintas.

Dua buah kenderaan ambulans turut tiba. Pasukan paramedik segera memberi rawatan kecemasan. Pada masa itulah Azizah terlihat tiga mayat dimasukkan ke dalam bungkusan plastik hitam termasuk mayat suaminya. Linangan air matanya ibarat hujan menujah-nujah ke bumi. Semangatnya semakin lemah. Namun, dia harus bertahan demi Intan Suryani. Seketika, dia teringatkan kucing yang menjilat-jilat tapak tangan anaknya tadi. Matanya meliar tercari-cari. Pandangan yang melegar terhenti di satu penjuru, terfokus pada kucing yang dicari itu, di sebelah kawasan berdekatan dengan jalan lama. Ia berjalan sambil menggoyang-goyangkan ekornya. Sejurus, kucing itu berhenti dan kemudiannya menoleh. Dari jauh, Azizah nampak mulut kucing itu ternganga seperti mengiau panjang. Kemudian, ia terus berlari-lari sebelum menghilang menyusup masuk ke semak-samun. Wajah Azizah terbentuk kerutan. Dalam keterbatasan pemikirannya kala itu, akalnya tidak terjangkau merung kaikan persoalan tersebut. Kucing atau apakah yang menghampiri dan menjilat tapak tangan anaknya tadi?

Imbas Kembali:

Kuala Lumpur AZIZAH cemas melihat Intan Suryani yang baru berusia dua tahun mendukung seekor kucing di halaman rumah. Ketika itu, suaminya Sanusi tiada di rumah. Dia bimbang kalau-kalau anaknya dicakar binatang itu biar sejinak mana 10 pun ia. Kelam-kabut dia mendapatkan Intan Suryani. Kucing dalam dakapan Intan Suryani perlahan-lahan diambil, kemudian diletakkan ke tanah. Binatang itu berlalu pergi tanpa mencederakan anaknya. Intan Suryani menangis-nangis mahu mendapatkan kucing itu semula. Sejurus itu, didukung anaknya masuk ke dalam rumah, dimandikan dengan paksa. Tubuh si kecil disental dengan sabun sampai berbuih-buih.

“Tahu tak... kucing tu ada kuman. Kuku dan mulut dia ada bakteria. Kalau kena cakar, kena gigit... boleh lumpuh. Bulu kucing boleh bawa penyakit asma.” Azizah membebel-bebel, seolah-olah anaknya itu sudah berakal dan dewasa. Dia terlalu sayangkan Intan Suryani. Sedaya upaya dijauhkan daripada sebarang bahaya. Malah, seekor nyamuk pun tidak akan dibenarkan menggigit anaknya itu.

“I want cat. I want cat!” Intan Suryani meronta-ronta.

“Cannot!” Azizah meningkah. Intan Suryani menyambung tangisannya.

“Mama akan bagi tahu ayah, Intan tak dengar cakap mama,” bebel Azizah lagi.

“I want cat!” Intan Suryani masih berkeras.

“Tak boleh, Intan Suryani. Mama kata, tak boleh!” Azizah tetap bertegas. Hospital Serdang AZIZAH mengeluh berat. Dia berada di luar bilik kecemasan. Dalam gelisah diamuk resah, imbauannya tidak semenamena terlontar ke masa lalu. Mengaitkan dengan fenomena luar biasa di tempat kejadian beberapa jam lepas. Seekor kucing muncul tanpa bersebab, mendekati Intan Suryani sebelum berlalu pergi. Secara tiba-tiba pemikirannya terpintas mengenangkan 11 arwah suaminya. Sebak di dada semakin terasa ngilu.

“Puan Azizah...” Dr. David Chu keluar dari bilik kecemasan tanpa disedari oleh Azizah. Azizah tersentak. Lamunan yang menerawang membuatkan dia terkhayal seolah-olah tidak berpijak di dunia nyata. Melihat kehadiran doktor yang sebaya usia dengannya, dia lekas-lekas bangkit berdiri. Wajahnya tampak kosong. Kelopak mata terkerdip-kerdip.

“Anak puan... stabil.” Dr. David Chu memberitahu. Azizah menghela nafas lega.

“Anak puan saya berikan satu suntikan. Biar dia tidur... berehat.”

“Terima kasih, Dr. David,” ucap Azizah berkali-kali.

“Anak puan akan dibawa ke wad. Mungkin ditahan dalam empat lima hari. Saya nak jalankan rawatan lanjut,” kata Dr. David Chua lagi.

“Tempatkan anak saya dalam wad kelas pertama. Saya sanggup bayar berapa banyak pun.” Azizah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk anak tunggalnya itu. Dr. David Chu mengangguk, akur dengan permintaan Azizah.

Kuala Lumpur

PENGEBUMIAN Sanusi dijalankan tanpa kehadiran Intan Suryani yang masih terlantar di Hospital Serdang. Terdahulu, jenazah Sanusi dibedah siasat. Punca kematian didapati kerana pendarahan otak. Azizah yang ditemani sanak saudara lebih banyak mendiamkan diri. Di tanah perkuburan itu, segenap hatinya me rintih pilu menyaksikan mayat suaminya dikalangkan tanah. Pemergian suami tercinta dilepaskan dengan redha. Dia akur pada kehendak takdir. Setiap yang bernyawa pasti 12 akan berasai mati. Cuma bila, di mana dan bagaimana ke matian itu mendatang, hanya ALLAH yang mengetahui nya. Upacara pengebumian berlangsung dalam masa sejam. Sebaik sahaja selesai, para hadirin mulai beredar. Lafaz takziah buat Azizah sekeluarga tidak putus-putus diucapkan. Sehingga tempoh itu berlalu, Azizah kini bersendirian di situ. Masih bersimpuh di tepi tanah kubur arwah Sanusi. Dia enggan berganjak bila diajak pulang. Diyakinkan kepada sanak saudara bahawa emosinya stabil dan tidak perlu dirisaukan. Lama dia menatap merah tanah kubur suaminya itu. Dalam sendu, dia berbisik tanpa sedar.

“Abang... apa pun yang telah berlalu, Zah tetap sayangkan abang, tetap mencintai abang sampai bila-bila. Zah berjanji akan menjaga Intan Suryani dengan baik, tak akan sekali-kali mengabaikannya dan membenarkan sesiapa pun menyakitinya.” Tiada lagi curahan air mata dalam ‘salam terakhir’ itu.

“Orang kata... mereka yang baik, akan masuk syurga.” Azizah menoleh. Tersentak apabila tiba-tiba sahaja seorang lelaki mencelah dengan menuturkan kata-kata yang syahdu didengari. Lebih memeranjatkan, lelaki yang bersuara itu adalah Dr. David Chu.

Maaf... terlambat menghadiri upacara pengebumian suami puan.” Manis kata-kata Dr. David Chu. Dia sudi datang biarpun menganut agama Kristian Katolik. Perbezaan agama bukan batasan untuk dia muncul di situ. Azizah kehilangan tutur kata. Pelik kerana Dr. David Chu yang baru dikenali sanggup mendatanginya sampai ke tanah kubur itu. Dia berasa sangsi, curiga dengan kejujuran lelaki itu.

“Tentu puan tertanya-tanya... kenapa saya hadir di sini.” Dr. David Chu melihat timbusan tanah kubur arwah suami Azizah. 13

“Ya... tiba-tiba saja Dr. David muncul.” Azizah tidak teragak- agak meluahkan kecurigaan yang menujah perasaannya kala ini.

“Puan memang tak kenal saya. Tapi saya dan suami puan, kawan baik.” Rahsia itu terbongkar jua akhirnya. Seumpama seketul batu yang timbul di permukaan air walaupun perkara itu mustahil berlaku. Azizah terperanjat.

“Sejak bila?”

“Masa kat universiti.” Dr. David Chu berterus terang.

“Arwah suami saya tak pernah bercerita pasal doktor pun,” tingkah Azizah.

“Lepas tamat ijazah pertama, saya menyambung pengajian ke Ireland. Ijazah kedua dalam bidang kedoktoran. Dan kami tak pernah jumpa lagi lepas tu.” Dr. David Chu me mulakan cerita.

“Saya terkejut apabila meneliti fail anak puan. Apabila saya selidik, memang sah... Intan Suryani adalah anak Sanusi. Rakan lama yang dah lama tak jumpa. Sayang... saya tak sempat berjumpa Sanusi semasa dia hidup.”

“Jadi... doktor memang kenal dengan suami saya?” Pengulangan soalan daripada Azizah. Wajahnya yang sayu itu berkerut-kerut. Dr. David Chu tidak lekas menjawab soalan itu. Matanya terjurus ke arah kubur Sanusi buat kali kedua. Satu keluhan terluah.

“Puan lebih mengenali Sanusi berbanding saya.” Azizah mulai ragu-ragu. Dr. David Chu mengukir sebuah senyuman. Namun, senyuman itu ditafsirkan Azizah dengan penuh tanda tanya.

BAB 2

Hospital Serdang
Mac 1990

AZIZAH sayu melihat Intan Suryani yang masih terlantar tidak sedarkan diri. Setelah kematian suaminya dalam kemalangan di lebuh raya semalam, Intan Suryani sahaja ‘harta’ yang tinggal buatnya kini. Dia dilanda kemurungan. Jiwanya huru-hara akibat kejadian dahsyat itu. Akibatnya, dia terlalu takut kehilangan anak tunggalnya pula. Dr. David Chu melangkah masuk ke dalam wad untuk memeriksa tahap kesihatan Intan Suryani.

“Macam mana, doktor?” Kerana tidak sabar, Azizah bertanya, sedangkan Dr. David Chu masih belum selesai menjalankan tugasnya.

“Puan Azizah...”

“Please... jangan berpuan-puan dengan saya. Doktor rakan baik arwah suami saya. Anggap saja kita sekarang... kawan baik.” Dr. David Chu mengangguk.

“Ya... terima kasih.”

“Macam mana keadaan anak saya, doktor?” Terus Azizah ke titik persoalan.

“Keadaannya stabil. Pernafasan, tekan darah... semuanya baik. Cuma... mungkin jantungnya ada masalah sikit,” terang Dr. David Chu. Azizah tidak terkejut.

“Memang anak saya ada masalah jantung, Dr. David.”

“Sejak bila?” Dr. David Chu memberi perhatian khusus.

“Sejak baby lagi. Masa lahir, Intan tak menangis macam baby normal. Kelam-kabut doktor yang menguruskan waktu tu. Saya meraung masa tu. Saya fikir Intan dah meninggal. Saya betul-betul risau. Mujurlah doktor tu doktor yang berpengalaman. Intan ditepuk-tepuk... kepala ke bawah.” Jiwa Azizah terasa galau tatkala bercerita tentang masa lalu.

“Itu prosedur biasa apabila menghadapi kecemasan,” komen Dr. David Chu.

“Dalam beberapa minit lepas ditepuk-tepuk, Intan menangis. Alhamdulillah... nyawanya dikembalikan.” Terketar-ketar bibir Azizah bercerita. Ternyata kisah itu mencetuskan trauma kepadanya.

“Arwah Sanusi macam mana masa tu?”

“Doktor... saya bercerita mengenai Intan, bukan Sanusi!” Azizah meninggikan suara. Dr. David Chu tergamam menerima reaksi berbeza wanita itu.

“Err... maafkan saya.”

“Doktor, tolonglah... tolong pastikan anak saya selamat, doktor,” pinta Azizah bersungguh-sungguh. Dr. David Chu sekadar mengangguk. Sedikit pelik dengan perubahan mood wanita itu.

WAKTU telah berganjak ke tengah malam. Azizah tertidur di kusyen dalam wad.

“Mama... mama...” Azizah tersentak. Lebih terkejut apabila melihat Intan Suryani berdiri di satu sudut dikelilingi berpuluh-puluh ekor kucing. Binatang-binatang jinak itu melingkar di celah-celah kaki Intan Suryani, mengiau manja. Di antara kucing-kucing itu, Intan Suryani mendukung seekor kucing berwarna putih berbulu tebal menyerupai baka Parsi.

“Intan!” Azizah diterpa kehairanan.

“Mama jangan risau. Intan tak apa-apa. Intan tak akan mati. Intan ada 9 nyawa.”

“9 Nyawa? Itu dongeng nyawa kucing, sayang...” Intan Suryani tersenyum riang. Gembira ditemani kucing - kucing itu. Ia seumpama rakan-rakan yang mengajaknya bermain.

“Intan sayang... ke mari, nak. Kucing-kucing tu ada bakteria.” Azizah dilanda kerisauan yang teramat sangat. Lagipun, anaknya itu tidak sihat lagi.

“Kucing-kucing ni... kawan-kawan Intan, mama.” Intan Suryani tergelak manja.

“Intan... mari sini, sayang.” Azizah melangkah perlahanlahan mendapatkan anaknya.

“Mama... Intan nak jaga kawan-kawan Intan ni. Boleh kan, mama?” Intan Suryani leka bermain-main dengan sekumpulan binatang jinak itu yang tidak diketahui datang dari mana. Mustahil kucing sebanyak itu boleh mencerobohi hospital ini.

“INTAN! Intan Suryani!” Azizah terjaga daripada tidur. Kelam-kabut dia bangkit dan menghampiri anaknya yang terlantar di katil. Dia menarik nafas lega apabila menyedari dia hanya bermimpi sebentar tadi. Dia bukan membenci kucing, tapi bimbang Intan Suryani dijangkiti bakteria bawaan haiwan itu. Wajah mongel Intan Suryani ditatap lama-lama sehingga mengundang tangisan. Rambut anaknya itu dibelai-belai. Kasih sayang seorang ibu ditumpahkan, menyerlah ibarat bulan me ngambang penuh di langit bumi.

“Mama...” Intan Suryani mulai membuka mata.

“Intan!” Azizah terkejut.

“Kenapa mama menangis?” Intan Suryani kehairanan. Azizah tidak menjawab soalan itu. Tubuh kecil Intan Suryani dipeluk erat-erat.

“Mana ayah, mama?” Pertanyaan itu membuatkan Azizah merungkaikan pelukan nya.

“Kita terlibat dalam kemalangan, Intan.”

“Bila?” Kelopak mata Intan Suryani terkelip-kelip.

“Sayang tak ingat? Kita...” Intan Suryani menggeleng sebelum ibunya sempat menghabiskan kata-kata. Kerisauan Azizah semakin menerjah.

“Intan nak bangun. Dah lama sangat Intan tidur, mama,” pinta Intan Suryani. Azizah menekan satu punat. Kepala katil terangkat secara automatik. Dihentikan apabila Intan Suryani berada keadaan duduk berlunjur dengan selesa.

“Ayah pergi out-station lagi ke, mama?”

“Ayah Intan dah... meninggal dunia, Intan. Meninggal dalam kemalangan tu.” Azizah berterus terang tanpa mengendahkan kestabilan mental anaknya ketika itu.

“Ayah dah mati?” Wajah Intan Suryani tampak kosong. Azizah terangguk-angguk menahan sebak. Mata Intan Suryani melilau memandang sekeliling.

“Intan kat mana ni, mama?”

“Hospital, sayang.” Azizah membelai pipi Intan Suryani.

“Intan tak mati dalam kemalangan tu, mama?” Soalan 18 itu seumpama tamparan keras.

“Jangan cakap begitu, sayang. Intan dan mama... selamat.” Azizah mententeramkan jiwanya sendiri. Keadaan anaknya tidak stabil sekarang.

“Mama...”

“Syhh... Intan rehat ya, sayang.” Azizah mengisyaratkan agar Intan Suryani tidak banyak bercakap. Khuatir kestabilan kesihatan anaknya terganggu. Dia menekan satu punat, untuk memanggil jururawat bertugas di luar wad. Seorang jururawat muncul.

“Panggil Dr. David sekarang,” pinta Azizah dengan nada yang tegas.

“Puan... Dr. David hanya akan masuk pagi besok. Dr. Noorsheila yang bertugas sekarang.” Jururawat itu memberitahu.

“Panggil Dr. David Chu sekarang! Saya nak Dr. David sendiri yang rawat anak saya.” Azizah berkeras. Wajahnya tampak garang.

“Tapi puan...”

“Awak faham ke tak? Saya nak Dr. David Chu. Anything happens to my daughter, I will sue you! Do you understand?” Azizah membeliakkan matanya.

“Ba... baik, puan.” Jururawat itu terpaksa akur. Tergesagesa dia keluar. JAM 2.10 pagi, Dr. David Chu sampai ke hospital. Terus dia memeriksa keadaan Intan Suryani. Azizah kelihatan sangat risau. Sejurus kemudian, Dr. David Chu tersenyum puas sambil memuji-muji ketabahan Intan Suryani.

“Macam mana, doktor?” Tidak sabar-sabar Azizah hendak mengetahui hasil pemeriksaan Dr. David Chu.

“Intan Suryani... anak yang kuat. Tahap kesihatan dah normal. Hebat!” puji Dr. David Chu. 19 Azizah menghela nafas lega. Kebimbangan disingkirkan serta-merta.

“Siang nanti, saya akan membuat pemeriksaan lebih terperinci,” lanjut Dr. David Chu lagi.

“Thank you very much, doctor,” ucap Azizah gembira.

“Saya nak cakap dengan... err... kat bilik saya,” pinta Dr. David Chu. Dia hendak memanggil nama Azizah tanpa menggunakan panggilan ‘puan’, tapi kekok pula. Sebab itulah dia tergagap-gagap.

“Nurse... berikan perhatian seratus peratus. Jangan leka.” Dr. David Chu mengarahkan jururawat bertugas. Wanita berstatus senior itu mengangguk akur dengan arahan tersebut. Azizah gembira mendengarkannya. Itulah yang dimahukannya. Berapa banyak pun kos rawatan dan perubatan, dia sanggup membayarnya. Yang penting, Intan Suryani mendapat perhatian kelas pertama di hospital itu. Dia tidak sabar melihat anaknya pulih semula. Intan Suryani ibarat berlian dalam hidupnya. AZIZAH meluahkan kerisauannya mengenai Intan Suryani. Sebagai seorang profesional dalam bidang kedoktoran, Dr. David Chu tekun mendengarkannya.

“Azizah...” Dr. David Chu bersuara.

“Awak sebenarnya mengalami trauma.” Dia mengemukakan pendapatnya berdasarkan cerita Azizah itu.

“Doktor... saya bercakap tentang anak saya, Intan Suryani. Bukan saya. Saya tak apa-apa!” Azizah mulai berkasar. Sejak kemalangan itu, terlalu sukar untuk dia mengawal emosi.

“Memori Intan mungkin terganggu sedikit.”

“Disebabkan kemalangan tu?” Azizah hilang kesabaran untuk mencelah.

“Mungkin. Dan mungkin jugak hal-hal lain berkaitan 20 dengan kehidupan.” Andaian Dr. David Chu menjangkau aspek personaliti.

“Doktor mampu menyembuhkan anak saya, kan?”

“Saya akan cuba,” jawab Dr. David Chu.

“Doktor mesti menyembuhkan Intan Suryani. Pulihkan ingatannya semula!” paksa Azizah. Dr. David Chu mendengus kasar. Dia tergeleng-geleng perlahan.

“Saya nak tanya sesuatu, Azizah. Boleh?”

“What?” Azizah mengesyaki ada sesuatu perkara buruk yang sedang difikir oleh Dr. David Chu.

“Apa yang Sanusi dah buat pada awak, Azizah?” Dr. David Chu bertanya. Azizah terpempan. Dia terdiam, seolah-olah lidahnya dijerut menjadi kecut.

BAB 3

Port Dickson, Negeri Sembilan
Oktober 2000

PERNIAGAAN berlian dan barangan kemas D’Diamond milik Azizah semakin berkembang maju. Rangkaian cawangannya bercambah ke selatan, timur dan utara Semenanjung. Sebuah bangunan tiga tingkat di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur kini dipunyai syarikat D’Diamond. Dahulu, hanya menyewa ruang niaga di bangunan Semua House sahaja.

Warisan peninggalan arwah Sanusi yang diusahakan mulai tahun 1985 tidak dipersia-siakan oleh Azizah. Intan Suryani bakal menjadi pewaris tunggal hak milik harta bernilai lebih RM100 juta itu. Dan hari ini... hujung minggu yang mendamaikan, Azizah dan Intan Suryani bercuti di situ. Menghirup udara 22 laut Selat Melaka yang menyegarkan. Menyingkirkan kesibukan hiruk-pikuk ibu kota. Juga bersempena cuti semester Intan Suryani yang melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta dalam bidang pengurusan perniagaan. Mereka bermain-main di tepian pantai, bergelak ketawa seolah-olah tidak pernah dilanda musibah. Walhal, tragedi sepuluh tahun lalu cukup dahsyat untuk dicatat dalam diari kehidupan dua beranak itu. Anehnya... Intan Suryani tidak mengingati tragedi itu. Setelah penat berkejar-kejaran dan membina istana pasir, Azizah dan Intan Suryani pulang ke pangsapuri mewah yang disewa. Azizah menyediakan makanan kegemaran untuk puteri tunggalnya itu. Setelah menikmati hidangan tengah hari, mereka bersantai-santai di beranda, duduk berehat di kerusi malas menyaksikan keindahan lautan dari tingkat sembilan pangsapuri berkenaan.

“Mama tak nak cari teman hidup?” Intan Suryani bertanya tiba-tiba. Meleret senyumannya. Soalan Intan Suryani benar-benar mengejutkan. Azizah berasakan wajahnya terasa hangat. Pertanyaan itu sengaja tidak dijawab. Malah, dia membiarkan kebisuan melingkari mereka. Dengusan angin Selat Melaka mengelus-ngelus batang tubuh mereka.

“Uncle David?” Intan Suryani sengaja memancing.

“Dr. David Chu... dia kawan karib mama, Intan. Mama dengan dia tak ada apa-apa,” sanggah Azizah. Persepsi Intan Suryani tidak salah kerana dia sering memenuhi jemputan makan malam mahupun tengah hari daripada lelaki itu.

“Nampaknya, mama tetap setia pada ayah.” Intan Suryani tergelak kecil. Azizah sekadar meleretkan senyuman. Sempat dicuit batang hidung anaknya.

“Kalau Uncle David memeluk agama Islam... hmm... 23 kenalah tukar nama, kan? Hmm... mungkin Daud atau... tak payah tukar. Cukup guna nama David Abdullah.” Intan Suryani galak mengusik. Namun, kali ini wajah Azizah nampak serius.

“Mama...” Intan Suryani mula risau.

“Sayang masih ingat arwah ayah?” Azizah mengubah topik perbualan.

“Ingat-ingat lupa.” Jujur Intan Suryani mengakui.

“Intan ingat apa yang berlaku pada tahun 1990?” Azizah berharap Intan Suryani dapat mengingati kemalangan dahsyat itu yang telah meragut nyawa Sanusi. Wajah Intan Suryani kelihatan kosong.

“Sorry, mama... Intan tak ingat.”

“Okey... masa untuk makan ubat.” Azizah enggan memanjangkan kisah pahit itu. Dia masuk ke dalam dan keluar semula bersama tiga jenis ubat dalam balang kecil. Levatol, Enalapril dan Digoxin. Levatol dipanggil beta blocker, sejenis kumpulan dadah yang merawat jantung dan melancarkan pengaliran darah menerusi arteri, iaitu saluran darah yang besar membawa darah keluar dari jantung. Enalapril pula kombinasi dadah untuk merawat masalah jantung. Manakala Digoxin digunakan untuk merawat pelbagai kondisi jantung.

“Sampai bila Intan nak hidup dengan ubat-ubat ni, mama? Intan tak nak hidup macam ni sepanjang hayat.” Intan Suryani tidak mengusik ketiga-tiga ubat itu. Balang kecil yang berisi ubat-ubatan itu sekadar dipegang sahaja.

“Intan akan sembuh tak lama lagi.” Kata-kata manis di lafazkan hanya semata-mata untuk menyenangkan hati Intan Suryani. Namun dalam hati, jiwa Azizah merintih. Intan Suryani telah memahami keadaan kesihatan dirinya. Dia tahu ibunya enggan berterus terang. Serta-merta Intan Suryani berdiri. Tiba-tiba kepalanya terasa berpusing. 24 Lama dia kaku berdiri. Kelopak matanya terkerdip-kerdip.

“Intan! Kenapa, sayang?” Azizah disergah kebimbangan.

“Mama...” Intan Suryani terjelepok ke lantai. Geylang, Singapura HAKIM merupakan tukang urut refleksologi di Geylang Serai - sebuah perkampungan Melayu. Gerai khusus untuk pelancong itu diusahakan oleh Persatuan Orang-orang Buta bagi membantu mereka yang cacat penglihatan mencari rezeki. Usaha itu mendapat kerjasama kerajaan. Malah, ia turut mencakupi bidang seni kraftangan. Tengah hari itu, Shauqi bergegas mendapatkan abangnya di situ. Nama Hakim dilaung berulang-ulang. Hakim yang baru selesai mengurut seorang pelancong England terkejut mendengar suara adiknya.

“Abang Hakim, ada berita baik!”

“Kamu tak ke sekolah, Shauqi?” soal Hakim sambil meraba-raba jam khas untuk orang buta yang dipakai di pergelangan tangan kiri.

“Err... sekolah... balik awal.” Shauqi berbohong.

“Abang memang tak dapat melihat, tapi abang tahu... kamu berbohong, Shauqi. Orang buta macam abang memiliki naluri yang sangat kuat.” Hakim tersenyum.

“Err... Shauqi ponteng sekolah,” dusta Shauqi yang berumur 17 tahun, muda tiga tahun daripada Hakim. Penjelasan itu membuatkan Hakim mengeluh berat. Sungguh kecewa.

“Hmm... apa berita baik yang kamu bawa, Shauqi?” Dia bertanya, tidak mahu berkhutbah panjang lebar mengenai betapa pentingnya pelajaran dalam kehidupan.

“Hospital Tan Tock Seng terima permohonan abang jadi telefonis. Tapi... abang kena ambil kursus khas.” Lancar Shauqi memberitahu. 25

“Syukur alhamdulilah,” ucap Hakim tersenyum girang.

“Tentu gaji telefonis lagi banyak, kan?” Shauqi berkongsi kegembiraan Hakim.

“Kalau begitu... mari kita makan,” ajak Hakim.

“Kita makan besar?!” Shauqi menuntut ganjaran kegembiraan yang melebihi kemampuan hidup mereka sehari-hari. Hakim mengaru-garu kepala biarpun tidak gatal.

“Tak apalah... makan biasa-biasa sajalah.” Shauqi lekas menyedari khilafnya.

“Apa pun yang kita makan, ia tetap besar maknanya untuk kita berdua. Yang penting... halal. Kita manusia ter pilih meskipun malang. Ucapan alhamdulilah itu lebih bermakna daripada makan besar, Shauqi.” Hakim menasihati adiknya betapa bersyukur itu lebih baik daripada membazir.

“Yalah, yalah...” Shauqi mencebik.

“Sebab tu Shauqi mesti belajar pandai-pandai. Masuk universiti, dapat ijazah, boleh kerja bergaji besar. Masa itu, hari-harilah Shauqi makan besar,” kata Hakim lagi.

“Lapar ni, bang.” Shauqi beralasan untuk menghentikan hujah Hakim.

“Mari... kita makan kat kompleks,” ajak Hakim.

“Cantik, bro.” Shauqi melonjak keriangan.

Hospital Port Dickson,
Batu 6, Negeri Sembilan

INTAN SURYANI tidak bernyawa dalam tempoh satu minit sejurus rebah. Azizah cepat-cepat memberi rawatan ke cemasan yang dipelajari daripada Dr. David Chu sejak mereka berkawan rapat pada tahun 1990. Dia berjaya ‘memberi nyawa’ kepada anaknya setelah berusaha menggunakan kaedah CPR dan kemudian menekan-nekan dada Intan Suryani. Tindakan itu mengaktifkan semula fungsi jantung. 26 Tidak berlengah dia menghubungi ambulans. Kini, Intan Suryani ditempatkan di bilik kecemasan. Dr. David Chu sudah dihubungi. Lelaki itu sampai di situ dalam masa kurang satu jam dari Hospital Serdang. Dr. David Chu sudah dianggap seperti doktor peribadi Intan Suryani.

“David... Intan hilang nyawa lagi,” cerita Azizah cemas.

“Bernafas lagi selepas tu?”

“Ya...” Azizah terangguk-angguk. Dugaan itu memang benar.

“Bawa bertenang. Saya akan uruskan masalah ni,” pujuk Dr. David Chu. Dia terus masuk ke bilik kecemasan. Sementara Azizah kembali duduk di luar dicengkam kerisauan yang teramat sangat. Dalam kebimbangan itulah fikirannya terimbau kata-kata suaminya dahulu.

“Anak ni akan menyusahkan kita, Azizah!”

“Shut up!” Azizah berusaha menyingkirkan suara-suara jahat dalam kepalanya.

“Intan bukan anak aku, Azizah! Dia anak orang lain!” Suara Sanusi terus bergema.

“Diamlah! Engkau dah mati... matilah! Jangan ganggu hidup kami lagi.” Mereka yang berhampiran dengan Azizah menoleh. Pelik melihat wanita itu duduk terpunduk menutup muka dengan tangan dan berkeadaan aneh. Azizah tergeleng-geleng. Seperti diserang migrain yang teruk.

“Tolonglah... jangan ganggu hidup kami lagi.” Dia terus-terusan bergumam sendiri. Suara arwah Sanusi menyingkir. Namun, keadaan itu meninggalkan trauma kepada Azizah dalam situasi sekarang. Dia terus dilanda kemurungan dan membisu.

DR. DAVID CHU keluar dari bilik kecemasan. Simpati dia melihat keadaan Azizah yang duduk terpunduk itu. Kelihatan 27 seperti sedang tidur dalam keadaan duduk. Lalu, dia duduk di sebelah Azizah.

“Intan Suryani dah normal semula.” Azizah terperanjat mendengar suara Dr. David Chu. Badannya tersentak seperti terkena renjatan arus elektrik. Kelihatan wajahnya sembab dan matanya merah.

“Saya nak jumpa anak saya,” pinta Azizah.

“Intan Suryani dah okey... jangan risau.” Dr. David Chu cuba menenangkan Azizah. Azizah menghela nafas lega. Kelopak matanya ter pejam. Seolah-olah menghayati proses penyingkiran kekusutan fikiran yang menggunakan kaedah tafakur.

“Awak sangat melindungi Intan Suryani.” Azizah merenung tajam wajah Dr. David Chu.

“Apa maksud awak, David? Awak seperti menyindir saya.” Mereka sudah tidak berkonsep formal setelah sepuluh tahun berlalu. Memanggil antara satu sama lain dengan hanya menggunakan nama sahaja.

“Awak terlalu bimbang sangat.”

“Intan anak saya... anak tunggal saya, David.”

“Sehingga awak lupa memberikan dia ubat?” Jelas sekali maksud tersirat di sebalik kata-kata Dr. David Chu.

“Selama ni, saya pastikan sendiri Intan makan ubat, David. Saya tak...” Azizah menutup mulut dengan tangan kanan.

My GOD... Intan tak telan ubat tu.” Kekecewaan terbayang di wajahnya.

“Intan Suryani berpura-pura makan ubat tu?” duga Dr. David Chu.

“Intan tak nak makan ubat hidup seumur hidupnya,” keluh Azizah.

“Azizah... kita terpaksa melakukan cara tu jugak.” Azizah terkedu. Tersandar longlai.

BAB 4

Geylang Serai,
Singapura

MEREKA dua beradik menikmati makan tengah hari yang telah tersasar dari waktunya, sekitar jam 2.30 petang. Di kompleks itu terdapat kedaikedai menjual barangan etnik, kesenian dan kraf seperti cenderamata, antik, lukisan dan pakaian.

“Kalau hari-hari makan macam ni, hmm... seronok sangat,” gumam Shauqi antara dengar dengan tidak kerana mulutnya dipenuhi nasi berlaukkan ayam.

“Sesekali abang mampulah, Shauqi.” Hakim tersenyum. Dua butir nasi melekat di bawah mulutnya. Lekas-lekas Shauqi menguis sisa nasi itu dengan hujung jari telunjuk.

“Seminggu sekali pun tak mengapa, bang.” Hakim mengangguk sambil mengunyah. Senyumannya melebar. Berdasarkan raut muka, nampak sangat Hakim 29 bersungguh-sungguh menikmati makanannya. Terpancar keikhlasan serta kesyukuran atas rezeki pemberian ALLAH biarpun hanya dapat dinikmati sekali-sekala sahaja. Dalam seminggu, selalunya mereka makan nasi berlaukkan ikan kering. Kadang-kadang sardin. Paling tidak pun makan nasi dengan kicap sahaja. Hakim tidak pernah me rungut. Cuma Shauqi kadangkala buat perangai.

“Alangkah baiknya kalau mak dan ayah masih ada,” keluh Shauqi. Hakim terhenti mengunyah. Terbayang di ingatan peristiwa malang yang melanda mereka keluarga. Semenjak orang tua mereka meninggal dunia, kehidupan mereka menjadi porak-peranda. Hidup menumpang di rumah saudara-mara, namun tidak bertahan lama. Mujurlah ibu bapa mereka telah membeli sebuah rumah flat kos rendah di kawasan Geylang. Secara tradisinya kawasan penempatan itu didominasi penduduk beragama Islam mencakupi Melayu, Indonesia dan Arab. Masyarakat yang mendiami Geylang dan Katong dipelopori komuniti Melayu dan Peranakan. Hakim terpaksa berhenti sekolah dan mengikuti kursus urutan refleksologi. Dia bekerja sebagai tukang urut kaki sejak usia belasan tahun lagi. Sebagai abang, telah menjadi kewajipannya menjaga Shauqi. Gigih dia berusaha untuk memastikan mereka dua beradik tidak hidup kelaparan.

“Kalau abang tak ada, tak tahulah macam mana Shauqi sekarang,” keluh Shauqi.

“Sabarlah...” pujuk Hakim. Dia menyambung suapannya semula tanpa memperlihatkan seleranya sudah terbantut. Dia mesti kuat di hadapan adiknya. Rela berpura-pura untuk me ngukuhkan semangat juang menghadapi kehidupan me reka sehari-hari. Perjuangan kehidupan sungguh memeritkan. Memenatkan jiwa.

“Kamu wajib belajar bersungguh-sungguh, Shauqi. 30 Kamu harapan abang untuk mengubah kehidupan kita.” Hakim memberi nasihat lagi. Pesanan itu membuatkan Shauqi terdiam. Raut muka Hakim yang tulus ikhlas itu direnung lama-lama. Dia mengeluh dalam diam. Pada masa itulah rakan karibnya, Dahlan muncul di hujung pandangan. Melambai-lambai ke arahnya. Dia pula membalas dengan isyarat tapak tangan me minta Dahlan menunggunya di situ. Dahlan mengangguk, me mahami isyarat yang diberikan Shauqi.

“Abang kerja semula jam berapa?” tanya Shauqi.

“Lepas makan, abang sambung kerjalah,” jawab Hakim.

“Shauqi hantar abang. Lepas tu, Shauqi nak balik.” Shauqi berbohong.

“Yalah...” balas Hakim.

“Petang nanti, Shauqi jemput abang.” Shauqi menyembunyikan resahnya.

“Tak apa... abang boleh balik sendiri. Jangan risaulah!” Hakim menghabiskan makanannya. Tiada sebutir nasi pun yang tinggal. Tersendawa dia kekenyangan. Dilafazkan kesyukuran ke hadrat ILAHI. Shauqi serba salah melihat kejujuran abangnya yang cacat penglihatan itu. Timbul rasa bersalah, namun dia enggan berkalih dari jalan yang dipilihnya.

Hospital Port Dickson Batu 6, Negeri Sembilan

INTAN SURYANI sudah sedar. Dia kebingungan apabila mendapati dirinya keseorangan terlantar di katil pesakit. Suasana persekitaran diperhatikan. Seumpama baru terjaga daripada sebuah mimpi yang panjang. Dia ingat-ingat lupa kejadian yang telah menimpanya sehingga membawa dia ke situ. Minda sedarnya secara perlahan-lahan mengembalikan 31 ingatan yang hilang sekejap semasa dia pengsan. Dipaksa dirinya mengengsot ke kepala katil. Ingatannya beransur-ansur pulih. Sesuatu telah berlaku, tetapi gagal ditafsirkan secara akal normal. Hatinya berkata-kata, meriuh dalam jiwa. Semasa pengsan, dia berasakan dirinya berada dalam satu dimensi lain. Serta-merta imbauannya terpelanting jauh ke belakang. Dalam kemalangan sepuluh tahun lalu, dia pernah mengalami situasi yang serupa – berbentuk halus dan berada di luar jasad.

“Apakah semua ini... benar?” Teragak-agak dia membisikkan kata-kata itu.

“Apa yang berlaku?”

Imbas Kembali:
Port Dickson

INTAN SURYANI bangun setelah berasa dirinya terjelepok ke lantai. Dia memandang ke arah lautan nan luas. Sejenak dia berasa jiwanya terlalu damai. Satu perasaan yang tidak pernah dirasakan selama ini. Namun, ketenangan itu tidak lama apabila mendengar suara ibunya menangis memanggil-manggil namanya. Dia menoleh. Jantungnya tersentak tatkala melihat dirinya sendiri sedang terbaring di lantai.

“Mama...” Panggilan Intan Suryani tidak dapat didengari. Azizah menekan-nekan dada anaknya. Kemudian, memberi pernafasan dari mulut ke mulut. Itulah yang dilakukan berulangulang kali. Situasi itu sangat mengejutkan Intan Suryani. Ketika Azizah menekan dadanya, dia turut berasakannya. Pada masa Azizah memberikan rawatan CPR, udara mengalir dalam kerongkongnya.

“Intan... bangun sayang.” Azizah terlalu mengharap anaknya hidup semula.

“Mama!” Intan Suryani menjerit. Terharu mendengar rayuan bersungguh-sungguh ibunya. Rasa hati itu meng alir 32 lembut menelusuri perasaannya sehingga merembeskan air mata. Dipegang lengan ibunya, tetapi sifatnya kini menyerupai jisim angin.

“Intan!” Azizah semakin bersemangat apabila melihat air jernih mengalir dari mata anaknya yang terkatup rapat. Intan Suryani pula terkejut. Tangisan di alam halus diterjemahkan di alam nyata. Tidak semena-mena jantungnya terasa bergetaran. Sekali gus dadanya terangkat. Nafas tertarik ke dalam.

“Bangun, sayang. Bukan ke Intan ada 9 nyawa? Intan tak boleh mati sekarang!” jerit Azizah lagi. Usahanya berhasil. Intan Suryani terbatuk-batuk. Dirinya di alam sebelah berkecai menjadi taburan serbuk yang ghaib dengan cepat.

“Mama!” Intan Suryani merangkul tubuh ibunya. Azizah menangis kegembiraan berbaur terharu.

INTAN SURYANI memalingkan wajah ke arah pintu apabila mendengar ia dibuka. Azizah muncul. Wajah sedih seorang ibu kembali ceria tatkala melihat anaknya sudah sedar se mula. Bergegas dia mendapatkan anaknya. Kedua-dua beranak itu saling berpelukan.

“Mama...” Tangisan Intan Suryani menghiba.

“Syukurlah... Intan dah jaga semula.” Azizah membelaibelai rambut satu-satunya anak yang dia ada. Selama ini, Intan Suryani tidak pernah beremosi sebegini. Kali terakhir dia terlantar di katil hospital adalah pada sepuluh tahun lalu. Namun, anaknya itu tidak bersikap seperti sekarang. Dahulu, Intan Suryani seperti orang hilang ingatan. Terpinga-pinga... tidak mengerti apa-apa.

“Kenapa, sayang?” Azizah bertanya.

“Intan dah mati. Intan dah mati, mama.” Air mata yang tumpah semakin lebat.

“Intan masih bernyawa, sayang.” Azizah berusaha memujuk Intan.

“Intan ingat, mama... Intan nampak tubuh sendiri, kaku tak bernyawa. Mama berusaha selamatkan Intan. Mama menekan-nekan dada Intan, beri pernafasan pada Intan.” Cerita itu membuatkan wajah Azizah berkerut. Perlahanlahan dia merungkaikan dakapan, memisahkan tubuh mereka dalam jarak sejengkal. Wajah mongel anaknya ditatap lama dengan satu renungan yang tertanya-tanya.

“Macam mana Intan tahu?” Walhal, Azizah mengetahui bahawa Intan Suryani sudah tidak bernyawa pada waktu kejadian. Jantung anaknya sudah berhenti berdegup.

“Intan nampak, mama.” Air hangat yang mengalir melimpahi takungan mata diseka oleh Azizah. Pipi Intan Suryani dibelai-belai. Namun, semua itu tidak berupaya menyembunyikan perasaan pelik yang dialaminya kini.

“Masa tu, mata Intan... tertutup.” Azizah mulai berdebardebar.

“Intan... Intan berada di dunia lain,” kata Intan Suryani.

“Mama tak faham.” Azizah membetulkan pernafasannya.

“Intan berada di dunia... di alam orang mati, mama.” Intan Suryani memberitahu lagi. Wajah Intan Suryani, renungan matanya... memperlihatkan dia tidak berbohong atau mereka-reka cerita. Wajah itu dirundung ketakutan. Azizah tidak terkata. Dia memeluk Intan Suryani semula. Fikirannya mula membayangkan se suatu yang buruk. Sekali gus memacu ketakutannya.

Geylang Serai, Singapura

SHAUQI berlari-lari mendapatkan Dahlan setelah menghantar abangnya ke tempat kerja semula. Dahlan pula setia 34 menunggunya di situ meskipun resah. Setelah bertemu, mereka tergelak-gelak.

“Lu setia betul pada abang lu yang buta tu, Shauqi.” Dahlan tergelak besar.

“Lu jangan hina abang gua, Dell.” Ketawa Shauqi terhenti. Dia pantang sekali mendengar sesiapa pun men cemuh abangnya. Hakim... satu-satunya keluarga yang dia ada se karang. Mereka sama-sama membesar dalam keadaan yatim piatu.

“Janganlah serius sangat, Shauqi.” Ketawa Dahlan berlanjutan. Shauqi naik berang. Dia menolak Dahlan sehingga tersandar ke dinding.

“Eh... apa ni, Shauqi? Lu nak belasah kawan sendiri?” Muka Dahlan berubah. Ketawanya yang galak menghina itu terhenti secara tiba-tiba.

“Dia abang gua, Dell. Lu jangan ejek dia!” Shauqi memberi amaran keras.

“Okey... sorry, sorry.” Dahlan mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah.

“Hmm... apa hal?” Shauqi bertanya.

“Kong nak jumpa kita.” Dahlan memberitahu.

“Ada barang baru sampai?” Shauqi membayangkan duit yang bakal diterima.

“Malam ni, Lorong 22. Kong nak kita jual barangan tu.” Shauqi tergaru-garu kepala. Keriangan lenyap dalam sekelip mata.

“Abang gua mesti tak tahu kamu buat kerja ni, kan?” Dahlan menduga-duga.

“Abang Hakim tak tahu pun gua dah berhenti sekolah,” keluh Shauqi.

“Cikgu sekolah tak cari abang lu?”

“Gua cari jalan supaya dapat halang cikgu-cikgu tu. Gua 35 tipu macam-macam. Ada surat, gua buang,” beritahu Shauqi tanpa terpalit rasa kesal.

“Mesti abang lu kecewa.”

“Gua tak suka ungkit semua tu!” bentak Shauqi. Dahlan terkedu. Masing-masing terdiam. Sama-sama berfikir dengan cara yang berbeza. Selama ini, Shauqi dan Dahlan hanya terlibat membawa barang-barang seludup dari pesisir pantai yang dibawa masuk dari Batam, kemudian membawa barang-barang itu ke Lorong 22. Mereka bersurai setelah menerima bayaran daripada Kong.

BAB 5

Bandar Singapura

HAKIM berasa terpanggil menziarahi tanah perkuburan ibu bapanya di Pusara Abadi, Chua Chu Kang. Di situ, dalam lingkungan ‘kehidupan orang mati’ di alam barzakh, dia memanjatkan doa kesejahteraan khusus buat kedua-dua orang tua yang dikasihi, sejurus menebarkan doanya untuk seluruh penghuni yang bersemadi di kawasan itu pula. Dia berkata-kata di hadapan dua nisan kaku, yang diam mewakili penghuninya di bawah tanah. Dinyatakan kegembiraan kepada orang tuanya kerana diterima bekerja sebagai telefonis di Hospital Tan Tock Seng. Cara dia bercakap se olah-olah ibu bapanya masih bernyawa lagi.

Dia kerap ke situ untuk menyatakan apa pun jua perasaan yang terbuku di dalam hati. Setelah setengah jam berlalu, Hakim mengunjungi Masjid Sultan pula. Masjid yang dibina pada tahun 1928 itu masih kukuh. Masjid asal dibina pada tahun 1820. Dari Geylang, dia menaiki Mass Rapid Transport atau disebut MRT, iaitu sistem pengangkutan awam. Orang cacat penglihatan sepertinya tidak sukar ke situ atau ke mana-mana pun jua. Penduduk negara itu sentiasa menghulurkan bantuan. Di rumah ALLAH itu, dia mengerjakan solat asar dan sujud syukur atas khabar gembira yang diterima. Dia berzikir sementara menunggu solat maghrib di satu sudut. Keletihan sepanjang hari itu membuatkan dia terlelap. Dalam tidur itulah sebuah mimpi mengunjunginya. Bertemu ibu tersayang. Bukan satu igauan melainkan sebuah mimpi yang terhasil dari masa lalu. Imbasan yang berubah bentuk menjadi sebuah mimpi.

“Mak tak nak Hakim abaikan Shauqi. Dia adik Hakim. Jaga dia baik-baik.” Arwah ibunya berpesan semasa hidup dahulu. Arwah ayahnya tiada di rumah ketika itu kerana bekerja sebagai pemandu teksi antara Singapura dan Johor Bahru.

“Baik, mak.” Hakim menjawab ketika terlelap. Kelihatan seperti mengigau. Sesekali, kedengaran giginya berlaga-laga.

“Ingat pesan mak, Hakim,” nasihat arwah ibunya lagi.

“Baik, mak.” Hakim masih berkeadaan begitu. Seorang jemaah yang duduk tidak jauh dari situ menoleh. Diperhatikan Hakim yang mengigau, berkata-kata dalam tidur. Jemaah itu berasa simpati. Baginya, Hakim telah ditakdirkan berkeadaan seperti itu. Pandangan biasa sesiapa pun pasti akan mengatakan Hakim yang cacat penglihatan itu bernasib malang. Namun apabila naluri memperhalusi keadaan itu, takdir tersebut pasti ada hikmahnya. Cuma tiada seorang manusia pun dapat meneka dengan tepat kerana setiap takdir pasti bersebab. 38 Kerana kasihan, jemaah itu mendekati Hakim.

“Saudara...” Paha Hakim ditepuk-tepuk. Hakim tersentak dan terus terjaga. Dia beristighfar.

“Maaf... terpaksa mengejutkan saudara.”

“Dah masuk waktu ke?” tanya Hakim.

“Hmm... lagi sepuluh minit. Err... saudara mengigau tadi. Saya terpaksa kejutkan saudara.”

“Terima kasih. Saya mimpi pasal arwah mak.”

“Bersedekahlah untuk arwah,” saran jemaah itu.

“Ya... insya-ALLAH.” Hakim terangguk-angguk.

“Mari kita ambil wuduk. Kejap lagi, azan maghrib.”

“Ya...” setuju Hakim. Jemaah itu membimbing Hakim ke tempat berwuduk. Hospital Port

Dickson, Batu 6, Negeri Sembilan

DR. DAVID CHU diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan ke atas Intan Suryani. Azizah yang berkeras, sekali gus mendesak pihak hospital supaya Dr. David Chu yang merawat anaknya. Tindak-tanduk Azizah yang kasar serta angkuh itu tidak disenangi. Namun, mereka terpaksa akur apabila Azizah mengugut akan menyaman doktor dan pengurusan hospital jika berlaku sesuatu yang buruk terhadap Intan Suryani. Dr. David Chu membuat pemeriksaan lanjutan. Selesai sahaja tugasnya, dia mengajak Azizah minum petang di kantin. Topik perbincangan mereka menjurus pada permasalahan Intan Suryani.

“Setelah sepuluh tahun, masalah yang sama berulang lagi, David,” keluh Azizah.

“Puncanya... Intan tak makan ubat, Azizah. Rentak jantung Intan jadi tak menentu bila dia tak makan ubat,” ulas Dr. David Chu. 39 Azizah menghela nafas berat. Fikirannya berserabut.

“Awak sangat melindungi Intan, Azizah. Ia sangat baik. Tapi pada masa yang sama, awak gagal mengawal emosi. Awak cepat marah. Suka buat riuh,” tegur Dr. David Chu pula. Azizah berasa tersinggung. Matanya mencerlung berserta renungan tajam.

“Saya kawan awak, Azizah. Saya kena tegur. Lama-lama, emosi yang tak stabil tu akan merosakkan awak. Sedangkan, Intan amat memerlukan awak.” Dr. David Chu mengendurkan nada suaranya.

“Sejak Intan lahir, saya dah dapat rasakan... hidupnya akan ditimpa malang. Sebab tu saya kena lindungi Intan dari apa-apa ancaman.”

“Awak tak pernah menceritakan pada saya sejak sepuluh tahun lalu. Awak cuba pendam sendiri masalah itu,” komen Dr. David Chu.

“Saya tak percayakan sesiapa,” tegas Azizah.

“Termasuk saya?” Dr. David Chu kelihatan kecewa. Azizah terdiam. Perasaannya berkecamuk.

“Tak apalah, Azizah. Lain kalilah cerita... bila awak dah bersedia.”

“I’m so sorry, David...” Wajah Azizah beriak duka.

“Okey... saya takkan campuri urusan peribadi awak.”

“Macam mana dengan Intan sekarang?” Bijak Azizah melencongkan perbualan asal.

“No choice. Kita mesti dapatkan jantung baru untuk Intan,” kata Dr. David Chu. Ketegasan itu membuatkan wajah Azizah tertunduk.

“Awak banyak duit, Azizah. Hebohkan berita ni. Buat sidang akhbar, cari penderma.” Dr. David Chu menyarankan. Cadangan itu pernah disuarakan, tapi Azizah nampak teragak- agak hendak membuat keputusan.

“Ada tak cara lain?”

“Dengar nasihat saya, Azizah. Cari penderma organ.” Dr. David Chu tetap bertegas.

“Tak ada orang hidup yang sanggup mendermakan jantung mereka, David.”

“Kalau begitu, cari orang mati. Orang yang baru mati.” Kata-kata Dr. David Chu membuatkan Azizah terlopong. Lelaki itu berdiri. Bersiap-siap hendak pergi.

“Awak nak pergi mana, David?” Azizah turut berdiri.

“Tugas saya di Hospital Serdang, Azizah.” Kadangkala, sikap Azizah yang enggan berkongsi rahsia dengannya biarpun mereka akrab sejak sepuluh tahun lalu membuatkan lelaki itu bosan.

“Tapi awak doktor peribadi Intan, David!” marah Azizah.

“Saya tak pernah dilantik. Yang saya lakukan hanya pengorbanan seorang kawan karib, Azizah.” Dr. David Chu menapak beberapa langkah sebelum berhenti dan berkalih.

“Adakah awak jugak seorang kawan pada saya, Azizah?” Soalan itu ibarat tamparan hebat yang melepuk wajah Azizah. Azizah terkesima.

“Don’t worry. Intan Suryani stabil. See you soon.” Dr. David Chu terus meninggalkan tempat itu. Azizah berdiri terkaku. Tidak percaya kata-kata seumpama itu boleh terkeluar dari mulut Dr. David Chu sendiri.

INTAN SURYANI terkejut apabila melihat satu kelibat hitam berdiri di hujung katil, tapi agak ke belakang mendekati dinding. Kelibat itu diamat-amati. Ia tidak menyerlahkan dirinya untuk dikenali. Bersembunyi di sebalik kegelapan. Kemunculan kelibat itu secara misteri membuatkan Intan Suryani ketakutan.

“Mama?” Dia mengharapkan kelibat hitam itu milik ibunya. Kelibat itu merengus-rengus.

“Ma... ma...” Intan Suryani cuba menjerit sekuat hati, tapi suaranya tersekat di rengkungan. Kelibat itu berjalan-jalan, tetapi tidak pula menghampirinya di katil pesakit. Menderam-deram seperti bunyi dengkuran yang keras. Intan Suryani berteriak lagi. Sekali lagi suaranya tidak terluah. Angin di dasar perut pun tidak tertolak keluar untuk meluahkan bunyi suara. Malah, dia tidak mampu menggerakkan badannya. Seperti dihimpit benda halus. Digagahkan seluruh kudrat. Sedikit demi sedikit digerakkan jari-jarinya untuk mendapatkan punat merah. Sekejap masa sahaja tubuhnya sudah berkeringat. Dia bertarung sekuat hati. Nafas jadi sesak. Usaha bersungguh-sungguh itu membuahkan hasil. Dia dapat mencapai punat merah itu dan menekannya lama. Ia suis bagi membunyikan isyarat loceng di kaunter luar, bertujuan memanggil jururawat bertugas. Seorang jururawat masuk. Bilik yang agak suram dengan hanya menyalakan satu lampu siling sahaja agar pesakit boleh tidur tanpa gangguan cahaya yang terang itu dinyalakan lampu nya. Dia terkejut melihat keadaan Intan Suryani. Sempat dia menekan loceng kecemasan, menghubungi doktor dan terus memberikan rawatan kecemasan. Intan Suryani sesak nafas.

AZIZAH duduk di sebelah katil pesakit. Intan Suryani sedang tidur lena. Sejam lalu, anaknya itu mengalami kesukaran bernafas. Pada masa yang sama, Dr. David Chu telah ke Hospital Serdang. Sekarang, Azizah berasa keseorangan menghadapi kesukaran yang sangat menyusahkan itu. Musibah yang menimpa membuatkan dia menangis. Jiwanya tidak tertahan menanggung penderitaan. Seolah-olah ‘neraka hidup’ itu mengejarnya di mana-mana. Rintihannya yang berlanjutan menyedarkan Intan Suryani daripada lena.

“Mama...” panggil Intan Suryani.

“Intan sayang. Mama gembira Intan dah sedar. Apa yang berlaku, sayang?”

“Intan nampak...” Teragak-agak Intan Suryani hendak memberitahu.

“Hantu.”

“Kat bilik ni?” Azizah berasa curiga.

“Kat hujung sana.” Intan Suryani menuding telunjuk ke arah dinding di hujung katil.

“Hantu?” Wajah Azizah berkerut. Tidak mempercayai cerita tahyul itu.

“Hantu hitam... legam. Hantu tu marah-marah, mama,” kata Intan Suryani lagi.

“Hantu tu kacau... err... serang Intan?” Azizah mahukan kepastian. Intan Suryani menggeleng-geleng. Spontan Azizah menghela nafas lega.

“Besok kita balik KL, sayang. Mungkin jugak hospital ni... keras.” Dia tidak ikhlas menyokong cerita anaknya. Sekadar menumpahkan perhatian khusus kepada Intan Suryani sahaja. Jari-jemari anaknya digenggam erat.

“Mama... jangan pergi mana-mana ya? Mama temankan Intan kat sini ya?” pinta Intan Suryani. Wajahnya yang pucat itu membayangkan ketakutan.

“Ya...” Azizah bersetuju. Di dalam hati, dia merungut. Apa lagi yang mengganggu hidup anak aku selepas ini? Kenapa TUHAN tak mengasihani aku? Emosinya tidak seimbang. Fikirannya berserabut menghadapi masalah yang bertimpatimpa.

Sekian,terima kasih.