Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Saturday, May 1, 2010

Fragmen Cinta Sufi



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...


Berita baik!

Ada fragmen rupanya..cinta sufi..

Fragmen CINTA SUFI

Prolog Prolog
Cinta Sufi

Nafas panjang berulang-ulang kali. Berusaha menyatukan kekuatan seluruh jiwa selayaknya gelaran Laksamana Melayu terbilang yang disandang sekian lama. Seorang laksamana terhebat yang tidak terkalahkan oleh mana-mana pahlawan di rantau ini.

“Semoga ALLAH menyelamatkanmu, wahai sahabatku Sunan,” getus Hang Tuah tatkala membisikkan suara dari dalam jiwanya.

“Insya-ALLAH... kita akan bertemu lagi.” Suara Hang Tuah bergetaran di halkumnya.

Ternyata Laksamana Melayu ini sudah bulat tekadnya hendak meninggalkan dunia kemasyhuran istana dan memilih untuk bertindak di sebalik tabir sahaja. Dia memilih menjalani sisa hidupnya untuk beribadah di suatu tempat yang tidak akan dijumpai oleh
sesiapa pun kecuali sahabatnya Hang Lekiu sahaja.

Maka, Hang Tuah pun menuruni tebing Tasik Hulu Melaka. Kedua-dua telapak kaki tertekan-tekan memijak tanah. Diiringi dengan zikrullah serta selawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w. Dia melanjutkan kayuhan kaki ke arah sebuah jeti sehingga berhenti di hujungnya. Di sana, Hang Tuah memperkemaskan caranya berdiri.

Hang Tuah mendiamkan diri sejenak. Mulutnya terkumatkamit membaca surah al-Fatihah. Lantas, bertawakallah dia dalam merencanakan tindakan selanjutnya. Sekali lagi, dia mendongak ke langit bumi. Bulan berwajah penuh tampak berseri-seri sekali. Jiwa yang gundah pun mampu terdiam tatkala merenungi makhluk ciptaan ALLAH itu.

Sejenak terbayang wajah Puteri Hang Li Po yang dibawanya dari Tanah Besar China, anugerah maharaja yang terindah buat sultannya yang bertakhta di Istana Melaka. Malah, Maharaja China telah menitipkan ‘sesuatu’ untuk Hang Tuah bagi membantunya dalam melaksanakan tugasan. Selebihnya dipelajari daripada Puteri Hang Li Po.

Dan Hang Tuah pun mengalunkan sebuah syair dalam bahasa Cina. Alunan merdu itu memecahkan kesunyian malam. Perlahan-lahan air Tasik Hulu Melaka kelihatan berbuak-buak. Gelombang-gelombang kecil mula bertukar menjadi gelombang air yang semakin membesar. Berdeburan seumpama ombak di tengah lautan.

Di permukaan air terpancar kilauan ‘sesuatu’ yang mendiami tasik itu sejak kedatangan Puteri Hang Li Po ke Melaka. Kilauan itu hasil pantulan cahaya bulan yang menujah badan ‘mereka’. Kilauan itu memancar-mancar ibarat taburan bedil soldadu China tatkala bersuka ria meraikan perayaan menjelang malam tahun baru.

Hang Tuah merasakan tanah bergegaran. Kedengaran di atas tebing bunyi bergemuruh seakan membelah bumi. Bunyi itu adalah suara-suara ketakutan binatang-binatang yang mendiami kawasan persekitaran. Binatang-binatang itu bercempera melarikan diri menjauhi tebing tasik sejauhjauhnya.

‘Sesuatu’ yang lebih besar akan muncul dari tasik itu. Binatang-binatang ini pula takut menjadi korban.

Namun tidak pada Hang Tuah. Dia sudah lama mengenali ‘sesuatu’ yang akan muncul tidak lama lagi. Malah menjaga ‘mereka’ sejak kecil lagi, yang dibawa dari Tanah Besar China. Hang Tuah tenang menunggu kemunculannya. Kala ini, air tasik berpusar-pusar dan menjadi tohor di bahagian tengah sehingga mengunjur sampai ke hujung jeti.

Seketul batu muncul bergerak perlahan menghampiri hujung jeti. Batu yang diperoleh dari Majapahit itu telah lama dijadikan sebuah pelantar. Ia terapung di permukaan air biarpun Hang Tuah berdiri di atasnya. Batu yang terhasil dari lahar gunung berapi yang dibawa pulang ke Melaka oleh Hang Tuah sendiri. ‘Kesaktian’ Tanah Besar China dan Majapahit itu bersatu dalam genggaman Laksamana Melayu terhebat ini.

Hang Tuah melompat ke atas batu itu. Sementara ‘mereka’ masih berada di bawah air membuat pusaranpusaran bagi memudahkan ‘sahabat mereka’ menggelongsor mengharungi air Tasik Hulu Melaka yang kian tohor. Hanya berada pada paras buku lali sahaja.

Maka, belayarlah Laksamana Melayu itu ke tengah tasik sehingga menghilang di sebalik air Tasik Hulu Melaka. Perlahan-lahan suara bergemuruh yang sentiasa berteriak ibarat suara guruh di langit itu semakin lenyap. Tasik Hulu Melaka kembali tenang seperti sedia kala. Kembali dicengkam kesunyian malam.

Hutan Melaka

PUTERI KOBER GANDRING terlentang tubuhnya menghadap langit bumi tatkala ditinggalkan Saifudin. Kelopak matanya terbeliak dan enggan tertutup. Ternyata Puteri Kober Gandring sangat menakuti kematian. Dia berkeadaan nyawa-nyawa ikan kala ini. Tercungap-cungap
mencari nyawa yang belum terlucut dari jasadnya. Sudah beberapa hari Puteri Kober Gandring berkeadaan nazak.

Berpanas dipanah matahari, berhujan dan kesejukan tatkala malam beranjak ke subuh. Jantungnya kian lemah. Takungan nyawa itu sudah ditikam Saifudin menggunakan keris Nanggroe. Meskipun demikian, ajalnya belum sampai, namun terpaksa pula menanggung
kesengsaraan yang teramat dahsyat. Bukan calang-calang manusia berupaya bertahan tatkala jantungnya dirobek.

Setakat ini, Puteri Kober Gandring masih mampu bertahan. Dan malam ini, Puteri Kober Gandring hanya berupaya menyaksikan wajah bulan purnama. Dia tidak mampu menggerakkan tubuh. Hatta untuk menggerakkan jarijarinya pun Puteri Kober Gandring sudah tidak berdaya. Kala ini, angin dari laut Selat Melaka menerbangkan satu bau yang
cukup dikenali. Bau darah!

Anak telinganya dapat mendengar getaran sepasang kaki sedang berjalan menghampirinya. Nafasnya pula ketika ini terasa berada di tenggorokan. Sesekali terhasil bunyi merengus seperti deru nafas binatang sembelihan. Tidak lama kemudian, satu susuk tubuh kekar muncul pada pandangan mata. Agak kelam kerana membelakangi cahaya bulan mengambang.

“Puteri Kober Gandring... hmm... ilmumu belum cukup ampuh untuk mengalahkan si Sunan keparat itu. Kamu tergesa-gesa hendak menguasai Melaka. Andai si Sunan itu bergabung dengan Hang Tuah, nescaya riwayatmu akan berakhir sepantas angin bertiup.” Pemilik suara itu berpakaian seperti golongan kerabat pangeran dari Majapahit.

Wajah Puteri Kober Gandring didekati. Sepasang matanya galak melihat wajah sang puteri yang nazak itu. Lelaki itu menggeleng. Menzahirkan rasa kecewa. Lalu, tubuh yang mulai mengering itu dipapah dan dibawa pergi. Menghilang ditelan malam.

Lisbon, Portugal
Tahun 1511

CATALINA... wanita golongan bangsawan, isteri kepada Aryas Do Lopo, tidak tenteram perasaannya sejak akhir-akhir ini. Suami tercinta sudah berpergian beberapa bulan mengetuai armada Portugis yang bergabung dengan beberapa armada dari Eropah memerangi tentera Turki. Mereka berperang bukan kerana memperluaskan tanah jajahan, tetapi demi menegakkan sebuah kepercayaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Saban waktu, Catalina banyak menghabiskan masa berdiri di sebuah beranda di luar kamar tidurnya. Menyaksikan pelabuhan dan lautan dengan penuh pengharapan. Banyak masanya juga dihabiskan di gereja untuk berdoa agar suaminya Aryas Do Lopo terselamat dari kancah peperangan.

Bab 1


Pulang semula ke pangkuannya tanpa sebarang luka. Menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan. Namun, penantiannya menjadi sia-sia setiap kali matahari terbenam di ufuk.
Dan hari ini, dia menunggu lagi di tempat biasa. Sekadar menyaksikan pelabuhan dan lautan dari kejauhan. Cuma sesekali sahaja dia berjalan-jalan di pelabuhan ditemani beberapa orang pengiring. Tidak ketinggalan pastinya Renata, wanita tua berusia pertengahan 50-an. Wanita itu diupah oleh Aryas Do Lopo untuk melindungi Catalina dari sebarang malapetaka. Ternyata Renata memiliki ilmu kesaktian yang sangat luar biasa.

Jarang bergaul, pendiam dan banyak menghabiskan masa di kamarnya sahaja yang ditempatkan khusus oleh Aryas Do Lopo di rumah agam bangsawan itu.

Catalina... bersesuaian dengan makna namanya yang bermaksud tulen atau asli, memiliki budi pekerti yang sangat tinggi. Berkulit putih kuning langsat yang jarang dimiliki kebanyakan wanita bangsa Portugis yang berwajah mirip bangsa Sepanyol. Tatkala diterpa angin laut yang menempiaskan kehangatan, wajahnya menjadi kemerahmerahan.

Memiliki sepasang mata redup dan apabila tersenyum pasti meragut hati mana-mana lelaki yang melihatnya. Bagaimanapun dalam keceriaannya sehari-hari, dia memiliki satu sifat yang tidak baik. Catalina seorang yang lekas marah.

Kecantikan serta keanggunan Catalina dicemburui golongan bangsawan lain. Namun... Aryas Do Lopo sangat dihormati. Tiada seorang pun sanggup bersengketa dengannya.
Atas faktor itu jugalah menjadi antara penyebab Aryas Do Lopo mengupah Renata. Wanita tua itu dipercayai ‘dilahirkan’ semula hanya kerana maksud namanya sahaja. Berasal dari
kawasan pergunungan di daerah pedalaman. Aryas Do Lopo sanggup mencarinya dan menawarkan sejumlah upah yang sukar ditolak.

KERANA bosan dan rindu, Catalina masuk semula ke kamarnya. Pada mulanya sekadar berbaring-baring sahaja.

Lama-kelamaan rasa mengantuk itu bergayutan di kelopak mata. Akhirnya, Catalina terlelap. Tidurnya lena tanpa sebarang mimpi. Seumpama bayi yang kenyang selepas
menyusu. Maka, perasaan itu pun lenyaplah buat seketika. Entah berapa lama dia tertidur.

Catalina terjaga semula apabila namanya dipanggil berulang kali oleh seorang pembantu yang bekerja di rumah agam bangsawan itu. Panggilan diiringi ketukan pintu. Catalina bangkit dengan sebeban kemalasan. Tatkala pintu kamar dibuka, pembantunya seorang perempuan belasan tahun sempat menunduk hormat sebelum menyatakan perkhabaran dari pelabuhan.

“Ada apa?” Catalina bertanya dan tersenyum kecil. “Armada Yang Mulia Aryas Do Lopo telah berlabuh di pelabuhan.”

Demi sahaja mendengarkan perkhabaran itu, Catalina berlari-lari ke beranda. Dari situ, dia dapat melihat beberapa buah kapal perang Portugis sedang berlabuh. Wira-wira Portugis itu disambut oleh sekelompok orang. Kedengaran gegak-gempita laungan semangat kemenangan. Catalina berlari-lari pula keluar dari kamar, menuruni anak-anak tangga yang diperbuat daripada batu-batu mahal, berlari keluar dari rumah agam dan meluru ke arah pelabuhan.

Pembantunya seorang perempuan berusia belasan tahun itu pun bergegas mengekorinya.
Sampai sahaja di pelabuhan, Catalina menyusup dalam kelompok orang ramai. Sambil itu, anak matanya meliar ke merata arah mencari-cari suami tercinta. Yang terlihat hanyalah Leandro dan Aloisio sahaja. Mereka adalah pahlawan Portugis yang menyertai armada Aryas Do Lopo.

“Leandro! Aloisio!” Catalina berteriak memanggil keduadua wira Portugis itu.

“Yang Mulia Catalina... hati-hati. Orang ramai kian bersemangat meraikan kemenangan. Mereka akan jadi lupa diri.” Pembantu itu memegang lengan Catalina.

Ternyata Catalina juga sudah lupa diri. Dia langsung tidak mengendahkan nasihat pembantu perempuannya itu. Dia bergerak ke hadapan. Mendapatkan Leandro dan Aloisio.

Apabila sampai sahaja, kedua-dua lelaki itu terpegun melihat Catalina. Seketika mereka berpandangan. Dan Catalina tidak menyukai reaksi pada riak muka mereka.

“Mana Aryas Do Lopo, Leandro... Aloisio?” Catalina bertanya.
“Kenapa kamu mendiamkan diri? Kenapa Ayras Do Lopo tidak kelihatan?” Catalina menggesa serta mendesak.

Leandro dan Aloisio mengeluh berat.

“Maafkan kami, Yang Mulia Catalina. Aryas Do Lopo... Aryas... terkorban ketika berperang dengan tentera Turki.”

Tersekat-sekat Leandro memberitahu. Aloisio pula tidak sanggup menyatakannya. Ia berita
mendukacitakan.

“Yang Mulia Aryas Do Lopo... dikebumikan di Sepanyol,” lanjut Leandro.
“Maafkan kami, Yang Mulia Catalina.” Merendah sahaja suara Aloisio.

Catalina tercengang. Tergamam kerana enggan mempercayai khabar duka itu. Beberapa kali dia menggeleng. Air mata mengalir berjurai-jurai. Kedua-dua kakinya menjadi lemah. Pandangan bertukar menjadi gelap. Catalina jatuh pengsan.

KELOPAK mata Catalina masih terpejam rapat. Namun anak telinganya sudah terjaga. Kala inilah dia terdengar alunan suara merdu. Alunan yang cukup mendamaikan jiwa. Kerana
dorongan hati, Catalina memaksa juga mengangkat kelopak. Cinta Sufi Mata hitamnya bergerak-gerak. Dia mendapati dirinya sedang terbaring di atas lantai.

Suara merdu itu masih berkumandang mengalunkan sesuatu yang asing pada pendengarannya. Satu bahasa yang tidak difahami. Perlahan-lahan Catalina bangkit. Bersimpuh melihat suasana persekitarannya. Di tempat ini sangat indah sekali. Terlalu indah jika dibandingkan rumah agamnya.

Lebih hebat berbanding istana Raja Portugal. Suasananya terang-benderang. Tapi, tidak sedikit pun menyilaukan mata.

Semerbak wangi-wangian pula menyelubungi tempat itu. Apabila diamati, tiada satu pelita mahupun lilin yang menghiasi di bahagian dinding. Catalina sendiri pun tidak mengetahui dari mana cahaya itu muncul. Keadaan tempat ini sangat menyenangkan. Ibarat sebuah syurga yang tidak pernah terbayang dalam fikiran. Dalam kehairanan, Catalina berdiri. Tercengang-cengang sehingga terlupa penderitaan yang baru dialami. Dia terlupa mengenai suaminya, Aryas Do Lopo yang telah terkorban dalam peperangan melawan
Turki.

Suara alunan yang merdu lagi mendamaikan jiwa bergema dari setiap penjuru. Berdengung seolah-olah melingkari sekujur tubuhnya dengan penuh kasih sayang.

Dalam keadaan terpinga-pinga itulah Catalina terlihat sebuah astaka yang sangat cantik hiasannya. Di tengah-tengah astaka itu tampak seorang wanita sedang bersimpuh tertib dengan kedudukan membelakanginya. Wanita itu pula berselubung serba putih memperlihatkan akhlaknya yang sangat beradab.

“Mendekatlah kamu, wahai Catalina.” Panggil wanita itu dengan lembut kata-kata. Seolah-olah dipukau, Catalina mematuhi arahan wanita itu. Dalam keadaan itu pun dia sempat berfikir. Suara yang baru didengarinya tadi seperti pernah didengarnya sebelum ini.

Bagaimanapun dia tidak ingat pemilik asal suara itu. Catalina menapak ke bahagian hadapan. Wanita itu memakai hijab, menutupi seluruh wajah dengan sehelai kain
tembus pandang. Namun, tidak pula dia gentar menghadapi wanita pelik itu.

“Ke marilah... duduklah di sebelahku, wahai Catalina.”
Tutur kata wanita itu memujuk.
“Siapakah kamu?” soal Catalina.
“Hamba... Maryam,” kata Maryam.
“Maryam... ibu Isa?” Wajah Catalina terbentuk kerutan.
“Subhanallah... Maryam ibu Isa... seorang wanita yang sangat agung. Wanita yang melahirkan al-Masih. Isa digelar al-Masih kerana dia tidak mengusap dengan tangannya
orang-orang yang sakit kecuali orang itu akan sembuh,” ulas Maryam serba ringkas.

“Hamba akan menuruti jejak langkah Maryam ibu Isa itu,” kata Maryam lagi.
“Apakah tempat ini... syurga?” tanya Catalina.
“Syurga dan neraka berada di hadapan kita, wahai Catalina.”
“Habis... ini tempat apa?” Catalina sedikit berkeras.
“Kamu menyukainya?” soal Maryam pula.
“Ya.” Jujur Catalina mengakui.
“Syukur, alhamdulillah,” lafaz Maryam.
“Boleh beta melihat wajahmu, Maryam?” pinta Catalina.
Catalina tetap menggunakan gelaran bangsawan.

Meskipun terlupa di mana dia berada sekarang, Catalina tetap mengingati asal usulnya yang membesar dalam kemewahan golongan bangsawan sehinggalah gelaran bangsawan itu diperkukuhkan lagi dengan perkahwinannya bersama Aryas Do Lopo.

“Andai begitu... belayarlah kamu ke Melaka. Di sana, kamu akan menemui seorang lelaki bertanduk dua. Bawalah lelaki itu ke Hulu Melaka. Di sana, hamba akan menunggumu untuk memperlihatkan wajah hamba kepadamu wahai Catalina.” Maryam menyarankan.

Catalina terpinga-pinga tidak mengerti. Wajahnya tampak kosong kebingungan.
“Baiklah... bersegeralah kamu pulang ke tempatmu wahai Catalina,” kata Maryam.

CATALINA terjaga dari pengsan. Dia kini terbaring di atas katil dalam kamar tidurnya. Para pembantu yang terdiri daripada wanita pelbagai usia sedang mengelilinginya. Mereka
berwajah sedih. Turut berduka cita dengan khabar kematian tuan mereka, Aryas Do Lopo. Di antara mereka, Renata sedang melakukan upacara pengubatan.

“Beta di mana?” tanya Catalina. Sejurus itu juga lekas-lekas Renata membantu Catalina
bangkit dan menyandarkan bahagian belakangnya pada sandaran katil.

“Kamu semua... keluarlah,” pinta Renata. Suaranya serak-serak basah. Arahannya dipatuhi. Para pembantu itu memahami akan kedudukan Renata dalam rumah agam ini. Wanita tua itu sangat dipercayai mendiang Aryas Do Lopo.

“Beta di mana, Renata?” Wajah Catalina tampak kosong.
“Yang Mulia berada di rumah. Leandro dan Aloisio bersama beberapa orang tentera mengusung Yang Mulia ke rumah ini.” Renata menjelaskan.

“Kalau begitu... beta bermimpi tadi. Mimpi bertemu Maryam.” Catalina memberitahu.
Wajah Renata berubah riak. Terpancar rasa tidak senang hati.“Maryam menyuruh beta ke Melaka dan mencari seorang lelaki bertanduk dua.”

“Aku akan menghalau syaitan-syaitan itu!” Renata separuh bertempik.
“Maryam itu bukan syaitan, Renata,” tegas Catalina.

Bab 2

PANGLIMA AWANG BAGAN berserta beberapa orang hulubalang yang lengkap bersenjata, berperahu menghampiri sebuah kapal dagang yang terolengoleng di Laut Selat Melaka tidak jauh dari pelabuhan sejak petang kelmarin. Peliknya, anak-anak kapal dagang itu
tidak kelihatan. Apa lagi juragan kapal yang langsung tidak datang ke pelabuhan untuk urusan percukaian dan barangbarang dagangan. Kapal itu menjadi perhatian Syahbandar.
Kemudian, perkara itu disembahkan kepada baginda sultan.

Atas perintah baginda sultan itulah Panglima Awang Bagan bersegera mendapatkan kapal itu. Dia bersama beberapa orang hulubalang memanjat ke atas kapal. Seorang hulubalang pula ditugaskan menunggu di perahu. Mereka terkejut apabila mendapati mayat anak-anak kapal bergelimpangan. Jasad mereka menjadi kering tidak berdarah. Hanya tinggal kulit
dan tulang sahaja.

Sebaik sahaja menyaksikan kejadian mengerikan itu, Panglima Awang Bagan lekas menghunus senjata yang sebelumnya tersemat rapi di pinggang. Hulubalanghulubalang
bersamanya turut mengangkat lembing, parang dan keris masing-masing. Sejurus mereka menggeledah seluruh kapal. Tiada seorang pun yang bernyawa. Juragan kapal juga dijumpai mati terlentang di dalam kamar kapal.

Keadaan juragan itu menyerupai mayat anak-anak kapalnya.
“Bahana apa ini?” Panglima Awang Bagan keliru.

“Ini pasti angkara Feringgi, Panglima.” Seorang hulubalang membuat tafsiran sendiri. Panglima Awang Bagan tidak lekas menyahut. Ingatannya kuat mengenai kejahatan serta tipu muslihat Feringgi.

Dahulu... pada pertama kali Feringgi datang ke bumi berdaulat ini, maka hairanlah orang Melaka melihat orang Portugis itu. Kapten kapal itu diberi persalinan dan sebagai balasannya kapten itu menghadiahkan seutas rantai emas yang dikalungkan sendiri ke leher Datuk Bendahara.

Di sebalik cerita, rupa-rupanya kapten itu belayar ke Goa dan memberitahu wizurainya, Alfonso de Albuquerque tentang Melaka. Alfonso de Albuquerque kemudiannya mengarahkan Gonzalo Pereira menyerang Melaka, tetapi kecundang. Berikutan serangan itulah baginda sultan amat berwaspada dengan helah Feringgi ini. Seluruh pahlawan dan
hulubalang Melaka dikerahkan bersiaga siang dan malam.

Kapal-kapal dagangan yang datang ke bumi berdaulat ini terpaksa menjalani pemeriksaan yang sangat ketat.

“Panglima.” Hulubalang yang paling dekat menegur.
“Bukan angkara Feringgi.” Lekas Panglima Awang Bagan menyahut.

“Angkara syaitan?” Hulubalang itu bersuara lagi.
“Kita tinggalkan kapal dagangan ini. Lekas!” perintah Panglima Awang Bagan.
“Bakar kapal ini!” Panglima Awang Bagan memutuskan.

Hutan Melaka

PUTERI KOBER GANDRING ditempatkan di sebuah gua. Jauh dari sinar matahari. Dikelilingi rimbunan daun pokokpokok kayu. Wanita yang menggelar dirinya itu seorang puteri dibaringkan di atas tanah yang tidak beralas. Dibiarkan dalam keadaan nazak. Tercungap-cungap seperti seekor ikan yang berada di daratan. Lelaki yang memapahnya sekadar memerhatikan sahaja bermula dari kegelapan malam sehinggalah terbitnya matahari.

“Kamu benar-benar seorang yang cekal. Sepatutnya kamu sudah lama mati ditusuk keris Nanggroe milik si Sunan itu. Kamu tahu... keris Nanggroe itu warisan daripada Wali Sufi
dari Aceh.” Lelaki itu berkhutbah. Sedangkan Puteri Kober Gandring langsung tidak mampu untuk menyahut apa-apa kata.

“Aku... Pangeran Garitno dari Majapahit.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Keponakan Taming Sari.” Lanjut Pangeran Garitno lagi.

Kali ini, Puteri Kober Gandring membeliakkan mata. Dihambat kejutan yang terlalu menguja. Ternyata, mereka seketurunan namun daripada keluarga yang berbeza.

Hulubalang Majapahit yang hebat itu mempunyai susur galur yang bercabang-cabang. Justeru, mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

“Andai aku memberi nyawa kepadamu... mahukah kamu berjanji untuk mentaati aku?” Pangeran Garitno mulai menawarkan satu kesaktian untuk melanjutkan nyawa Puteri Kober Gandring semakin lupus itu.

“Hremm... hremm...” Puteri Kober Gandring merengus dalam kesempitan nafasnya. Wajahnya semakin pucat. Urat-urat di sendi tubuh seperti terputus sekali gus melumpuhkannya. Dia tidak ubah seperti bangkai bernyawa. Yang hanya sipi-sipi menyandar hidup berdasarkan pernafasannya yang tersangkut-sangkut. Bunyi itu biasa
kedengaran apabila seekor binatang disembelih. Berdesaudesau sebelum putus nyawa.

“Kamu mahu? Ya... ternyata dendam lebih hebat dari nyawamu sendiri.” Pangeran Garitno seperti menjadikan Puteri Kober Gandring bahan jenakanya.

“Hremmm... hremmm...” Itu sahaja yang mampu disuarakan Puteri Kober Gandring.
“Sangat menderita dikalahkan si Sunan itu?” Pangeran Garitno tertawa mengejek.
Air mata mengalir dari sudut mata Puteri Kober Gandring.

Kata-kata Pangeran Garitno sangat melukakan. Perasaannya terusik. Malu kerana dengan mudah ditewaskan oleh seorang lelaki yang digelar Laksamana Sunan yang datang dari Tanah Rencong.

“Andai begitu... aku akan membantumu membalas dendam. Menganugerahkanmu kekuatan yang sangat luar biasa,” kata Pangeran Garitno.

“Hremmm... hremmm...” Ternyata Puteri Kober Gandring tidak sabar.
“Berjanji untuk mentaati aku sebagai rajamu?” Pangeran Garitno menolak dan menarik kata-katanya. Berdolak-dalik agar Puteri Kober Gandring tidak mengkhianatinya suatu
hari nanti.

Kali ini, Puteri Kober Gandring tidak menyahut lagi. Nafasnya tersekat-sekat. Kelopak mata mulai memberat. Seolah-olah ajal sedang berlegar-legar mengintai rohnya.

Demi sahaja melihat keadaan itu, Pangeran Garitno mencabut sebilah keris yang disisipkan di bahagian belakangnya.

Menggores pergelangan tangan. Kemudian, menitiskan darahnya sendiri ke dalam mulut Puteri Kober Gandring. Lisbon, Portugal

CATALINA mengurung diri di dalam kamar tidurnya. Duduk di hadapan pintu... di antara garisan sempadan beranda dan kamar. Di situ, dia menyaksikan matahari dalam rintihan. Rindunya bertukar menjadi penderitaan. Kini, hidupnya kosong tanpa suami tercinta. Catalina berkabung.

Mengenakan sepasang jubah berwarna hitam. Sejak malam tadi, air mata ibarat hujan. Berduka sebagai seorang balu. Balu kaya Aryas Do Lopo.

Renata menjenguknya. Melangkah ke belakang Catalina. Menyentuh bahu balu Aryas Do Lopo itu. Mengurut dan membelai dengan penuh kasih sayang. “Aku akan menjagaimu
sampai akhir hayatku, Yang Mulia.” Renata melafazkan ikrarnya. Berbakti seluruh hidupnya untuk balu bangsawan itu.

“Beta akan kesunyian andai terus berada di sini, Renata,” keluh Catalina.
“Apa Yang Mulia... maksudkan?” Renata mulai curiga.
“Melaka itu di mana letaknya, Renata?” Catalina bertanya.
“Yang Mulia lebih mengetahui. Aku cuma seorang tua dari daerah pedalaman kawasan pergunungan.” Renata merendah diri.

“Bolehkah kau mendapatkannya untuk beta, Renata?” pinta Catalina.
“Mengenai Melaka?” Renata bersusah hati.
“Ya. Cuba tanyakan pada Leandro mahupun Aloisio.”

Bukan permintaan lagi, tetapi satu perintah yang dituturkan dalam nada yang lembut.
“Baik, Yang Mulia.” Renata mengundur diri.

Catalina tidak menoleh walau sekilas pun melihat pemergian Renata. Dia cuma beranjak langkah ke beranda dan memandang ke bawah. Bibirnya menguntumkan senyuman
apabila melihat Renata berjalan keluar dari rumah agam itu dan menuju ke pelabuhan. Sejurus Catalina dirangkul helaan nafasnya sendiri.

“Aryas... aku merindui kamu,” bisik Catalina berduka. Kenangan sewaktu memadu cinta dahulu bertandang dalam fikiran. Mendiang suaminya itu sangat pandai mengambil hatinya. Berdarah bangsawan. Sama sepertinya dan apabila dua keluarga bangsawan bersatu atas nama perkahwinan maka kuasa, kekayaan dan politik itu menjadi semakin kuat.
“Aryas...” keluh Catalina dalam kesayuan.

Riak wajah mendiang suaminya terbayang-bayang di tubir mata. Seiring itu juga air bening tumpah lagi. Sukar sekali Catalina hendak membuang kedukaannya dalam sekelip mata.
Dia seorang balu bangsawan yang berazam akan berkabung seumur hidupnya. Jiwa yang terlalu goyah itu menyebabkan tunjang tulang belakangnya terasa sangat lemah. Untuk kali kedua, Catalina rebah lagi tidak sedarkan diri.

“WAHAI Catalina... bangunlah.”
Suara Maryam ibarat angin nyaman yang melunakkan anak telinga. Tidak pernah dia mendengar suara selembut itu sebelum ini. Malah, mendiang Aryas Do Lopo pun tidak pernah bertutur sedemikian rupa. Lembut yang memujuk sehingga menusuk ke kalbu. Hati yang keras pun boleh mencair dengan hanya mendengar suara Maryam sahaja.

Ini diperkukuhkan lagi dengan berkumandangnya suara alunan merdu yang berlagu mendayu-dayu. Namun, sehingga Catalina mencelikkan mata dan berada di tempat ini untuk kali kedua, dia masih tidak memahami bahasa alunan merdu itu.

“Kamu baik-baik saja, kan?” Maryam membelai-belai rambut Catalina.
“Hmm...” Catalina bangkit dan bersimpuh di hadapan Maryam.
“Alhamdulillah,” ucap Maryam penuh kesyukuran ke hadrat ILAHI.
“Beta sangat menyukai tempat ini, wahai Maryam,” getus Catalina.
“Tempat ini ada dalam dirimu wahai Catalina. Cuma...
ia belum terungkai untuk dijadikan kenyataan.” Maryam memberitahu.
Catalina mengerutkan wajah dan tertawa. Pada hemat Catalina, Maryam sengaja mengusiknya.

“Wahai Maryam... Beta ingin tahu. Melaka itu di mana? Sangat jauhkah dari Portugal?”
“Di Tanah Melayu... di situlah letaknya Melaka. Seorang putera raja dari Palembang bernama Parameswara telah membuka sebuah penempatan berhampiran Kuala Sungai
Melaka. Penempatan itulah yang dikenali sebagai Melaka.

Di sanalah orang banyak berdagang. Sebuah negeri yang makmur. Penduduknya hidup aman damai. Namun, tidak kurang juga yang bersengketa.” Maryam bercerita.

“Lalu, mengapa Maryam menyuruh beta ke sana?” Soal Catalina tidak mengerti.
“Wahai Catalina... kamu akan menyukai Melaka apabila bertemu dengan seorang lelaki bertanduk dua.” Maryam menjelaskan.

“Bukankah bertanduk dua itu... syaitan?” Catalina jadi keliru dengan saranan Maryam.

“Bukan bertanduk dua seperti gambaran dalam fikiranmu, wahai Catalina.” Maryam langsung tidak tertawa ketika menceritakan perihal ‘lelaki bertanduk dua’ itu.
“Beta masih keliru, Maryam.” Catalina menghela nafas panjang.

“Syaitan itu ada di mana-mana, wahai Catalina. Mereka sangat jahat. Berbentuk halus dan juga nyata. Manusia yang jahat itu juga adalah syaitan. Kadangkala wujud dalam bentuk yang baik dan menyenangkan,” hujah Maryam.

“Lantas... untuk apa beta harus mencari lelaki bertanduk dua itu?” Catalina bertanya.
“Lelaki itu akan membawamu menemui hamba di sana. Segala kekusutan di Portugal ini akan terungkai di sana. Percayalah pada hamba, wahai Catalina,” jelas Maryam.

Bab 3

Melaka

PANGLIMA Awang Bagan berserta hulubalanghulubalang istana telah mendarat di pelabuhan.

Pada ketika ini, orang ramai sedang memerhatikan sebuah kapal dagang yang dibakar itu. Malah, Datuk Bendahara dan Syahbandar turut menyaksikannya.

Perbuatan membakar kapal dagang itu menzahirkan tanda tanya kepada sesiapa sahaja. Hatta tidak terkecuali Datuk Bendahara dan Syahbandar.

Sejurus naik ke jeti pelabuhan, Panglima Awang Bagan menghadap kedua-dua orang besar istana itu. Datuk Bendahara dan Syahbandar tercengang-cengang seketika.

Pada riak muka mereka terpamer perasaan curiga. “Apa yang tuan hamba lakukan ini, Panglima? Pedagangpedagang akan berfikir kita menganiaya pedagang lain.”

Syahbandar lebih beremosi.
“Sabar dulu, Tuan Syahbandar. Moleknya kita dengar dulu penjelasan Panglima Awang Bagan,” pintas Datuk Bendahara.

Kemudian mengangkat kedua-dua kening sebagai isyarat penjelasan lanjut daripada Panglima Awang Bagan.

“Datuk... Tuan Syahbandar... semasa hamba bersama para hulubalang menaiki kapal dagang itu, hamba dapati... anak-anak kapal berserta juragan mereka telah mati. Keadaan
mereka cukup dahsyat. Mayat-mayat bergelimpangan... menjadi kering, tinggal kulit dan tulang saja,” cerita Panglima Awang Bagan.

“Dan tuan hamba mengambil keputusan sendiri... membakar kapal dagang itu?” soal Datuk Bendahara yang lebih cermat penelitiannya.

“Benar, Datuk,” sahut Panglima Awang Bagan. “Mayat-mayat mereka menjadi kering?” Syahbandar mengerutkan muka.

“Benar, Tuan Syahbandar. Seperti...” Pertuturan Panglima Awang Bagan terhenti.
“Seperti apa, panglima?” Datuk Bendahara merenung muka Panglima Awang Bagan yang tampak serba salah.

“Sesuatu yang tidak baik... yang akan menghuru-harakan Melaka dan mengancam keselamatan baginda sultan?” Datuk Bendahara terus membuat kesimpulan sendiri sebagai helah menduga-duga.

“Benar, Datuk. Anak-anak kapal dan juragan mereka... sudah kering tidak berdarah. Seperti diserang makhuk penghisap darah. Mereka... dibunuh, Datuk... Tuan Syahbandar.”
Panglima Awang Bagan ragu-ragu dalam menyatakan pendapatnya berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan di atas kapal dagang itu.

“Pontianak?” Rendah sahaja suara Syahbandar.
“Hamba tidak tahu, Tuan Syahbandar.” Jujur Panglima Awang Bagan mengakui.
“Tuan hamba bakar kapal dagang itu kerana khuatir kematian mereka menyebarkan wabak?” Datuk Bendahara bijak meneka dan Panglima Awang Bagan membenarkannya.
Mereka terdiam sejenak. Seolah-olah setompok beban menghempap ubun-ubun kepala. Datuk Bendahara kelihatan berfikir. Syahbandar nampak runsing. Panglima Awang Bagan
lebih banyak mendiamkan diri. Mereka sama-sama berfikir dengan cara tersendiri.

Menyimpulkan andaian buruk dalam benak masing-masing.
“Apa pendapat Datuk?” soal Syahbandar.
“Jangan heboh-hebohkan perkara ini. Panglima Awang Bagan... perintahkan hulubalang-hulubalang yang bersama tuan hamba agar tidak menghebahkan cerita ini.”

Panglima Awang Bagan mengangguk akur mematuhi perintah Datuk Bendahara.
“Bagaimana dengan baginda sultan, Datuk?” Syahbandar
nampak risau.

“Hamba akan menghadap baginda sultan dan menjelaskan duduk perkara sebenar,” jawab Datuk Bendahara. “Tuan hamba panglima... kerahkan para hulubalang agar lebih berwaspada.

Utamakan keselamatan rakyat jelata dan para pedagang. Tambahkan pengawal-pengawal istana untuk memastikan keselamatan baginda sultan,” kata Datuk Bendahara lagi.

Syahbandar mengangguk setuju. Manakala Panglima Awang Bagan mengangguk patuh pada perintah Datuk Bendahara.

Hutan Melaka

SETELAH diberi minum darah Pangeran Garitno, keadaan Puteri Kober Gandring menunjukkan perubahan yang mendadak. Wajahnya menjadi kemerah-merahan. Sekujur tubuh yang nazak kembali menjadi segar-bugar. Seluruh tenaga mengalir sepantas kilat. Jantungnya yang cedera ditikam kembali bercantum dan berdegup seperti biasa. Ternyata... kesaktian Pangeran Garitno itu telah memberi nyawa pada Puteri Kober Gandring. Memberi satu kehidupan abadi.

Sejurus bangkit berdiri, Puteri Kober Gandring melihatlihat dirinya dengan perasaan yang teramat hairan. Tatkala memandang Pangeran Garitno, dia mengukir sebuah senyuman lebar. Dari senyuman bertukar menjadi ketawa yang cukup galak.

“Sekarang... kamu memiliki kekuatan luar biasa, lebih ampuh berbanding sebelum ini Puteri Kober Gandring.” Tersenyum-senyum Pangeran Garitno menyaksikan kebang kitan semula Puteri Kober Gandring.

“Kamu siapa yang memberi nyawa kepadaku?”
Keangkuhan itu tidak pernah luput dari sifat dan sikap Puteri Kober Gandring.
“Aku... Pangeran Garitno dari Majapahit.”
“Oh... kamu sudah memberitahuku tadi malam.” Dalam nazak sukar bagi Puteri Kober Gandring membezakan antara kegelapan malam dan kegelapan waktu subuh. Manakala
waktu siang tidak sukar untuk meneka.

“Kita akan memerangi Sunan warisan Wali Sufi itu,” kata Pangeran Garitno.
“Kita?” Agak sinis Puteri Kober Gandring bersuara.
Serta-merta riak muka Pangeran Garitno berubah.
“Aku akan memburu mereka sendirian.” Puteri Kober Gandring melangkah keluar dari gua meninggalkan Pangeran Garitno.

Tiba-tiba sahaja dia meraung kesakitan apabila sekujur tubuh dipanah sinar matahari. Kulit wajah dan keduadua lengannya terbakar dan menggelupas. Kelam-kabut dia masuk semula ke dalam gua.

Pangeran Garitno tertawa galak. “Apa kau lakukan pada diriku? Celaka kamu Pangeran!”
Puteri Kober Gandring bertempik marah. Sepantas kilat, dia menyerang Pangeran Garitno.
Namun, lelaki itu bukan sembarangan. Serangan Puteri Kober Gandring dipatahkan dengan mudah. Malah sepantas kilat membalas serangan ampuh sehingga membuatkan Puteri Kober Gandring terpelanting ke dinding gua. Tatkala Sang Puteri itu hendak bangkit, Pangeran Garitno lekas memijak bahagian perut. Puteri Kober Gandring berteriak sekuat hati kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat sehingga menyakitkan otak dalam kepala.

“Kamu sangat angkuh! Bukankah kamu telah berjanji akan mentaatiku? Janji itu akan aku simpul sampai ke mati!”

Giliran Pangeran Garitno bertempik.
“Arghhh!” Jeritan Puteri Kober Gandring adalah teriakan
kekecewaan.
“Kamu akan menjadi hamba suruhanku!” Muka Pangeran Garitno membengis. Puteri Kober Gandring terdiam. Dia terikat dengan janji.

“Mulai hari ini, kegelapan itu lebih baik buat kamu... mengerti!” Pangeran Garitno memperlihatkan kekuasaannya.

“Baiklah.” Puteri Kober Gandring terpaksa beralah. Wajahnya yang terbakar kian menyembuh. Beberapa detik kemudian, keadaannya kembali pulih seperti sedia kala. Sekali
lagi dia dilanda kehairanan atas perubahan ke atas dirinya.

Tenaga serta kudratnya melebihi keupayaannya sebelum ini.
“Apa terjadi pada diriku, Pangeran?” Suara kemarahan Puteri Kober Gandring mulai merendah. Tidak lagi berani angkuh terhadap lelaki itu yang ternyata lebih berkuasa daripada dirinya sendiri. Maka dalam terpaksa, Puteri Kober Gandring akur mentaati Pangeran Garitno.

“Kamu bukan manusia lagi, Puteri Kober Gandring.”

Terkebil-kebil biji mata Puteri Kober Gandring mendengarkan kata-kata itu.
“Habis... aku ini apa sekarang?” Berdebar-debar Puteri Kober Gandring bertanya.
“Kamu akan tahu juga nanti. Cuma... hindari sinar matahari. Kegelapan itu lebih baik buat kamu sekarang.”

Pangeran Garitno tersenyum sinis.

Lisbon, Portugal

RENATA menemui Catalina di kamar tidur setelah balik dari pelabuhan. Balu bangsawan itu hanya mengurung diri sejak menerima berita kematian suaminya. Banyak membisu, mengabaikan makan minum dan menghabiskan masa dengan termenung di beranda. Kadangkala tidur sehari suntuk.

“Yang Mulia, Catalina...” Renata menghadap seraya menunduk hormat.
“Apa perkhabaran yang kau bawa, Renata?” Masa ini Catalina duduk di satu sudut dalam kamar tidurnya. Langsir dirungkaikan dari ikatan. Menghalang cahaya matahari dari menembusi masuk ke dalam kamar.

“Alfonso de Albuquerque... akan menyerang Melaka.” Renata memberitahu.
Catalina terdiam seketika. Kelibatnya nampak samar.
“Yang Mulia...” Renata mulai risau dengan perubahan tingkah laku Catalina.
“Di mana Alfonso de Albuquerque sekarang?” Soalan yang cukup tegas.
“Goa, India,” kata Renata.
“Raja memerintahkan Leandro dan Aloisio segera belayar ke Goa untuk membantu armada Alfonso de Albuquerque, Yang Mulia.” Renata menjelaskan lebih lanjut lagi.
“Melaka akan diserang?” bisik Catalina.

Renata yang berdiri berhampiran pintu menapak ke hadapan menghampiri tuannya.
“Apa pendapatmu andai beta menyertai rombongan Alfonso de Albuquerque, Renata?” Catalina meminta buah fikiran wanita tua itu.

“Terlalu bahaya, Yang Mulia. Portugis akan berperang dengan Melaka. Kematian tidak dapat dielakkan apabila peperangan berlaku.” Secara tulus ikhlas Renata menyatakan
hujahnya.

“Ya... peperangan jugalah yang telah meragut nyawa suami beta,” keluh Catalina.
“Andai demikian... batalkan saja hasrat Yang Mulia ke Melaka.” Renata menasihati.
“Tapi... Maryam menunggu beta di sana.” Tidak semenamena Catalina meninggikan nada suaranya. Kemarahannya meruap apabila hasratnya ditingkah.

“Tapi... siapa Maryam, Yang Mulia? Perempuan itu tidak layak memerintahkan Yang Mulia ke Melaka!” Renata hampirhampir derhaka.

“Diam kamu, Renata!” Catalina bingkas berdiri.
“Yang Mulia, Catalina... mendiang Yang Mulia Aryas Do Lopo memerintahkan aku menjaga Yang Mulia dari sebarang malapetaka. Maka, aku akan menegah Yang Mulia dari belayar
ke benua Tenggara itu.” Renata terpaksa bertikam lidah demi melaksanakan tugasnya yang diamanahkan oleh mendiang Aryas Do Lopo.

“Benua Tenggara? Kamu tahu mengenai Melaka, Renata?”
“Leandro dan Aloisio yang mengatakannya kepadaku.” Renata membela diri.
“Lekas bersiap! Beta akan menghadap Raja dan kamu... temani beta, Renata.” Keputusan mendadak Catalina itu membingungkan Renata.

“Untuk apa menghadap raja, Yang Mulia?” Renata curiga.
“Memohon izin untuk menyertai armada Alfonso de Albuquerque.” Sejurus Catalina meminta Renata segera keluar atas alasan hendak bersiap-siap. Di luar pintu yang tertutup, Renata menghamburkan rasa kecewa kerana gagal menegah hasrat Catalina. Siapa Maryam?

Bagaimana perempuan terkutuk itu berkuasa merasuk Yang Mulia Catalina? Bisikan kalbu Renata menjerit-jerit dalam diam.

Bab 4

Melaka

RUMAH Datuk Bendahara dikunjungi sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata parang dan lembing, datang berduyun-duyun membawa jamung.

Mereka kelihatan bermuram durja. Berkumpul di halaman setelah mendesak para pengawal pintu luar pagar membenarkan mereka menemui Datuk Bendahara. Malam yang hening kini menjadi riuh-rendah.

Datuk Bendahara muncul di muka pintu rumah, lalu melangkah ke pelantar hadapan. Menyambut sekumpulan lelaki itu dengan segarit senyum yang jelas kelat. Riak muka Datuk Bendahara pula tidak dapat menyembunyikan perasaan ingin tahu maksud kedatangan sekumpulan lelaki itu.

“Assalamualaikum, wahai orang-orang Melaka.”
Datuk Bendahara mendahulukan ucapan salam sebelum permasalahan mereka dikemukakan. Salam itu bersambut namun suara sekumpulan lelaki itu tidak sekata kedengaran.

Seorang lelaki yang berbadan tegap melangkah gagah tampil ke hadapan. Tangan kanannya memegang sebatang jamung. Manakala tangan sebelah kiri menggenggam sebilah parang. Keterampilannya lagak seorang pendekar. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Malim, seorang guru silat dari Kampung Senduduk.

“Di manakah letaknya Kampung Senduduk itu, tuan hamba Malim? Setahu hamba, tiada Kampung Senduduk di Melaka ini.” Kata Datuk Bendahara tanpa berganjak dari tempat dia berdiri.

“Datuk Bendahara... Kampung Senduduk itu terletak di antara garisan sempadan jajahan Kerajaan Rembau dan Kerajaan Melaka. Seolah-olah... kami penduduk Kampung Senduduk memiliki dua kerajaan. Namun demikian, setelah bermusyawarah... kami memutuskan untuk datang ke Melaka.... untuk menemui Datuk Bendahara. Khabarnya, Datuk Bendahara sangat rapat dengan baginda sultan.

Andai kami terus ke istana, nescaya kedatangan kami akan terhalang.” Malim bermukadimah.

“Mana penghulu Kampung Senduduk?” tanya Datuk Bendahara.
“Penghulu kami sudah mati, Datuk,” jawab Malim.
Riak wajah Datuk Bendahara berkerut. Permasalahan
sekumpulan lelaki dari Kampung Senduduk itu masih belum jelas terungkai di dalam fikiran.
“Andai demikian, hajat apa yang tuan hamba kehendaki?”
soal Datuk Bendahara.
“Kami memohon simpati Datuk Bendahara. Kampung
kami dilanda malapetaka. Habis ternakan kami mati.
Ramai penduduk kampung diserang dan terbunuh.” Malim mengadukan musibah yang menimpa mereka.

“Siapa yang menyerang Kampung Senduduk?” Wajah Datuk Bendahara berkerut seribu. Dia merasakan malapetaka itu teramat dahsyat sekali.
“Pontianak! Pontianak!! Pontianak!!!” Sekumpulan lelaki itu bersuara beramai-ramai.
“Yang mati... errr... mayat-mayat mereka jadi kering... tinggal kulit dan tulang saja?” Datuk Bendahara meneka berdasarkan kejadian Panglima Awang Bagan membakar sebuah kapal dagang tempoh hari.

Penduduk Kampung Senduduk terdiam. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Masingmasing mengakui kebenaran tekaan Datuk Bendahara itu.

Persoalannya, bagaimana Datuk Bendahara mengetahui keadaan mangsa-mangsa itu? Lalu, Malim pun bersuara menyatakan kebingungan mereka.

“Insya-ALLAH... hamba akan berikhtiar. Hamba akan memerintahkan Panglima Awang Bagan berserta hulubalanghulubalang Melaka ke Kampung Senduduk siang esok.” Kata
putus Datuk Bendahara itu amat memuaskan hati.

Kemudian, Datuk Bendahara meminta sekumpulan lelaki itu bersurai.

Lautan Hindi

SEMASA di Portugal, Catalina berjaya memujuk Raja Portugal. Dia diberi izin dengan syarat membiayai sendiri kelengkapan bahtera dan menggaji anak-anak kapal untuk mengendalikan pelayaran ke Melaka. Catalina yang bijak itu bersetuju. Kemudian, memohon agar Leandro dan Aloisio menyertai pelayaran. Alasan Catalina cukup kukuh, sebuah bahtera perlu ada seorang kapten dan pembantu.

Usul itu diterima. Raja Portugal tetap mengenang jasa mendiang Aryas Do Lopo yang telah berjuang demi keagungan Portugis. Dan kapten kapal berdarah bangsawan yang juga
dianggap seorang pahlawan Portugis yang gagah berani itu kecundang ketika bertempur dengan tentera-tentera Turki.

Catalina mengungkit hal itu sebagai penghujahan. Raja Portugal bersetuju dan berkenan melantik Leandro sebagai kapten. Manakala Aloisio sebagai pembantu kapten.

Anak-anak kapal terdiri daripada askar-askar Portugis yang mahir mengemudi pelayaran. Bahkan mereka adalah wira-wira berani yang sudah biasa bertempur di medan peperangan.

Pada hari keberangkatan hampir beberapa bulan lalu, Catalina membawa sekali Renata dan pengiring-pengiring yang terdiri daripada perempuan pelbagai usia. Paling muda
berumur 18 tahun. Mereka mengenakan jubah hitam sebagai tanda berkabung atas kematian Aryas Do Lopo. Catalina pula bukan hanya membaluti tubuhnya dengan jubah labuh berwarna hitam, malah menutupi wajahnya dengan sehelai kain hitam tembus pandang. Cara pemakaiannya itu telah menjadi perhatian seluruh rakyat tanpa mengira darjat mereka.

Sewaktu hari keberangkatan di pelabuhan, gerombolan Catalina menjadi bualan hangat di kalangan golongan bangsawan. Bahkan rakyat Portugal di Lisbon pun rancak memperkatakan perkara tersebut. Cerita bertukar menjadi andaian. Pasti ada tokok tambah dalam penceritaan mereka.

Namun, Catalina tetap enggan mempedulikan walau pun terdapat cerita-cerita yang sangat menyakitkan hati. Dia tetaptekad dengan keputusannya untuk belayar ke Melaka. Hendak
menemui Maryam di sana, sekali gus menyertai armada Alfonso de Albuquerque menyerang Melaka.

Keberangkatan Catalina itu bagaimanapun ditangisi ibu bapa dan keluarganya. Malah, ibu bapa berserta keluarga mendiang Aryas Do Lopo juga bersedih atas pemergian anak menantu itu. Mereka turut berkabung. Pelayaran itu ibarat upacara kematian. Mereka berdoa agar Catalina bersama gerombolannya selamat pergi dan pulang semula ke Portugal.

Pengurusan rumah agam milik Catalina diamanahkan kepada ibu bapa balu bangsawan itu.
Sebermula pelayaran, bahtera yang dinaiki akan meredah Lautan Atlantik Utara dan menghala ke selatan. Pelayaran merentasi benua Afrika. Lautan Arab tidak akan disinggahi.

Malah, pelayaran diteruskan sahaja ke Lautan Hindi sehingga bertemu dengan India. Di sana, Catalina merancang hendak menemui Alfonso de Albuquerque.

BAHTERA yang dikemudi Kapten Leandro bersama pembantunya Aloisio itu berlabuh tidak jauh dari pelabuhan Goa. Kapten Leandro bersama dua orang anak kapal berperahu menuju ke pelabuhan untuk menemui Alfonso de Albuquerque di sana. Kapten Leandro membawa surat bercap mohor Raja Portugal.

Ketika ini, Catalina sedang berdiri di atas dek ditemani Renata. Pelabuhan Goa kelihatan sibuk dari kejauhan.

Manakala pengiring-pengiring Catalina sibuk dengan urusan masing-masing yang lebih menjurus kepada kesenangan serta kemudahan Catalina selama pelayaran ini.
Catalina melihat Aloisio sibuk mengerahkan anak-anak kapal itu dan ini. Ada di antara mereka segera ke pelabuhan Goa untuk mendapatkan barang-barang keperluan. Ia sebagai tambahan agar mereka tidak akan mati kelaparan selama pelayaran.

“Peperangan di Melaka pasti dahsyat, Yang Mulia,” kata Renata. Memecahkan kebisuan di antara mereka.

“Ya.” Catalina memejamkan mata. Membayangkan dalam fikiran bagaimana mendiang suaminya terbunuh dalam peperangan. Gambaran itu sungguh teruk sehingga memaksa dia mencelikkan semula kelopak mata seraya menghela nafas berat. Tubuhnya bergetar menahan perasaan gerun.

“Apa yang difikirkan... Yang Mulia?” Renata bersedia berkongsi rasa.
“Kematian,” keluh Catalina.
“Kita tidak akan mati di Melaka Yang Mulia. Aku akan menjagai Yang Mulia sampai ke titisan darah terakhir.” Ikrar Renata itu telah berulang kali didengari Catalina. Mereka diam sejenak. Angin laut terasa panas. Namun demikian tidak pula Catalina berhajat hendak menanggalkan hijab wajahnya. Dia telah berjanji akan berkabung seumur jiwanya sehingga mendapat satu jawapan pasti daripada Maryam di Melaka nanti.

“Mimpi itu benar, Renata. Beta tetap mempercayainya,” ujar Catalina.
“Mengenai... err... Maryam.” Secara sembunyi-sembunyi Renata telah menyiapkan perancangan untuk Catalina bagi menghindarinya daripada sebarang malapetaka. Renata tetap memikirkan mimpi Catalina mengenai Maryam itu hanya sebuah ilusi yang bersifat jahat. Biarpun begitu, Renata tidak akan berani meningkah lagi kepercayaan Catalina itu.

“Beta tidak pernah menjumpainya sebelum ini. Beta percaya ini isyarat Tuhan.” Catalina nampak taksub dengan kemunculan Maryam dalam mimpi-mimpinya. Setakat ini, dia menemui Maryam dua kali. Catalina tidak menyedari bahawa kewujudan Maryam bukan mimpi ketika tidur, tetapi bermimpi ketika tidak sedarkan diri atau pengsan.

“Mereka sudah kembali, Yang Mulia.” Renata enggan membincangkan lebih lanjut mengenai hal karut itu meskipun terpaksa mentaati perintah Catalina.

Mereka melihat Kapten Leandro bersama anak-anak kapal kembali ke bahtera. Pada masa yang sama, anak-anak kapal yang diarahkan Aloisio mendapatkan barang-barang keperluan semasa pelayaran pun balik bersama Kapten Leandro.

Sejurus naik di atas dek, Kapten Leandro dan Aloisio berbincang-bincang seketika. Catalina dan Renata bergegas mendapatkan mereka. Menerusi riak muka kedua-dua lelaki itu, Catalina dapat menjangka sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Banyak andaian yang muncul di benak. Antaranya, kemungkinan besar Alfonso de Albuquerque membantah
penyertaan mereka belayar ke Melaka. Atau... ah! Dan banyak lagi yang menggusarkan fikiran Catalina kala ini.

“Kapten Leandro... apa yang berlaku?” Catalina tidak sabar mengemukakan soalan.
“Yang Mulia, Catalina... armada Alfonso de Albuquerque telah belayar ke Melaka dua hari lalu.” Kapten Leandro menyatakan perkhabaran tersebut.

“Habis... apa masalahnya?” Catalina bertanya. Suaranya seakan meninggi.
“Kita ketinggalan jauh, Yang Mulia,” ujar Kapten Leandro.
“Kalau begitu... kita teruskan pelayaran ini!” Catalina bertegas.

Teragak-agak Kapten Leandro mengangguk. Kemudian, Aloisio bertempik mengarahkan layar dinaikkan. Pelayaran ke Melaka diteruskan juga atas perintah Catalina.

Kampung Senduduk

PANGLIMA AWANG BAGAN terkejut melihat suasana kawasan perkampungan seperti baru diserang burung garuda. Mayatmayat manusia yang berbau busuk bergelimpangan di sana
sini. Lelaki, wanita... hatta kanak-kanak pun habis mati dibunuh. Keadaan mereka menyerupai mayat anak-anak kapal dan juragan di dalam kapal dagang tempoh hari.

“Bersiaga! Bersiaga semuanya!” Panglima Awang Bagan berteriak melaungkan arahan.
Para hulubalang mengangkat lembing masing-masing.

Malim bersama penduduk kampung yang terselamat, kesemuanya kaum lelaki menghunuskan bilah parang masing-masing. Anak mata mereka meliar ke merata arah
dalam keadaan berwaspada. Bimbang kalau-kalau bahaya mendatangi mereka dari penjuru yang tidak dijangka.

“Ini bukan perbuatan manusia!” Muka Panglima Awang Bagan membengis kerana terlalu marah. Pembunuhan beramai-ramai itu tidak berperikemanusiaan. Seumpama binatang buas yang menyerang mangsa-mangsanya.

“Tuan panglima, hamba berfirasat... semua ini angkara pontianak. Ada kawan-kawan hamba yang mendengar suara perempuan mengilai pada malam serangan itu,” ujar Malim.
Panglima Awang Bagan mengeluh berat. “Kita kebumikan dulu jenazah mereka!” putus Panglima Awang Bagan.

Kemudian, para hulubalang dan penduduk menggali sebuah lubang besar untuk dijadikan pusara. Mereka bertungkus lumus menguruskan jenazah mangsa-mangsa pembunuhan itu. Dikebumikan dalam sebuah pusara besar.

Bab 5

Hutan Melaka

PANGERAN Garitno dan Puteri Kober Gandring memerhatikan mereka dari satu penjuru yang
dipayungi pokok-pokok berdaun lebat. Satu tempat yang tidak ditembusi matahari. Menyaksikan Panglima Awang Bagan, para hulubalang Melaka bersama-sama penduduk Kampung Senduduk mengebumikan mangsa-mangsa serangan mereka berdua. Satu kawasan tanah dikorek dan dijadikan sebuah pusara besar.

“Mengapa Sunan itu tiada lagi muncul, Pangeran?”
Seorang demi seorang diperhatikan, namun orang yang dicari-cari tidak berada bersama mereka.

“Selalunya... Sunan akan muncul.” Pangeran Garitnom sendiri berasa hairan.
“Nampaknya... helah muslihat kita tidak menjadi.” Puteri Kober Gandring merengus.
“Sunan itu sudah menjadi bacul sekarang.” Pangeran Garitno mengutuk.

“Hmm... aku terasa mengantuk.” Tanpa segan-silu Puteri Kober Gandring menguap.
“Bila perut sudah kenyang... mata pun terasa berat.

Bila perut lapar, sesiapa pun kamu baham. Sampai binatang ternakan pun kamu bunuh juga.” Pangeran Garitno tersenyumsenyum.

Mengejek Puteri Kober Gandring yang begitu rakus menghirup darah penduduk kampung malam tadi tanpa mengira jantina. Malah, kanak-kanak pun dibunuhnya.

“Aku cepat lapar sekarang.” Puteri Kober Gandring mendengus.
“Darah adalah yang paling enak sekali. Darah manusia lebih manis berbanding darah binatang.” Pangeran Garitno memberitahu. “Aku mau menghabisi darah penduduk Melaka sebelum menakluk Tanah Melayu ini.” Puteri Kober Gandring meningkah.

Pangeran Garitno tertawa.
“Ternyata... dendammu sangat hebat, Puteri Kober Gandring.” Kata Pangeran Garitno.
“Malam ini, aku mau menyerang mereka.” Puteri Kober Gandring memuncung mulut ke arah Panglima Awang Bagan, para hulubalang Melaka dan saki-baki penduduk Kampung Senduduk.

“Kamu masih kehausan darah?” Pangeran Garitno kagum dengan dendam anak keponakan Taming Sari, hulubalang Majapahit itu.

“Ia sebagai tanda peringatan untuk Sultan Melaka,” kata Puteri Kober Gandring.
“Kelak kamu akan terlampau kenyang. Kamu bisa tertidur berbulan-bulan lamanya, Puteri Kober Gandring.”

Pangeran Garitno mengingatkan.
“Aku tidak peduli. Aku akan bangkit semula apabila Sunan muncul.”
“Bagaimana dengan Hang Tuah?” Pangeran Garitno sengaja mengapikan sengketa.
“Mereka akan kuhabisi... termasuk Sultan Melaka!” Puteri Kober Gandring menderam. Dia dikuasai amarah. Mulutnya terbuka sedikit menampakkan dua bilah taring pada barisan
gigi atas.

“Bagus. Aku sangat menyukai dendammu itu. Ia kekuatan yang tiada tolok bandingnya, Puteri Kober Gandring. Dan kesaktianku akan menambahkan lagi tunjang kekuatanmu
itu.” Pangeran Garitno berpuas hati kerana perancangannya ke atas anak keponakan hulubalang Majapahit itu telah berhasil.

Lautan Hindi - Teluk Benggala

CABARAN pertama dalam pelayaran. Hujan berserta ribut
melanda lautan. Bahtera terlambung-lambung dibadai
ombak. Kapten Leandro dan pembantunya Aloisio berserta
anak-anak kapal sibuk mengendali dan mengemudi bahtera.
Kain-kain layar diturunkan agar ribut tidak menyesatkan
pelayaran dari laluan sebenar.
Mujurlah Kapten Leandro, Aloisio dan anak-anak kapal
sudah biasa menghadapi situasi yang merbahaya sebegini.
Kapten Leandro sendiri yang mengendalikan pengemudi
bahtera diperbuat daripada kayu yang berbentuk bulat
bersilang-silang seperti roda kereta kuda. Namun, saiznya
lebih kecil berbanding roda kereta kuda.
Dari atas dek paling atas, Kapten Leandro sibuk berteriak
mengarah Aloisio dan anak-anak kapal berbuat itu dan ini.
Air laut yang melimpah masuk ditimba semula keluar. Yang
Cinta Sufi
40
paling ditakuti kalau tiang layar patah.
“Kapten... ada pulau kecil di sebelah timur!” Aloisio
menggunakan teropong mencari pulau-pulau untuk dijadikan
tempat berlindung sementara. Pelayaran pada waktu malam
memang agak sukar. Bagaimanapun pengalaman serta ilmu
pelayaran Aloisio telah mengatasi segala rintangan.
“Naikkan layar tengah!” Kapten Leandro memerintah.
Anak-anak kapal bersatu tenaga menaikkan layar tengah.
Bukan layar utama yang besar dan lebar. Tatkala kain layar
yang tertera lambang Portugis itu kembang di tiang tengah
bahtera, Kapten Leandro segera memutar roda pengemudi ke
arah bertentangan. Bahtera segera teralih ke arah timur.
“Aloisio... jarak! Jarak!” Kapten Leandro menjerit lagi.
Aloisio segera mengangkat teropong. Kemudian
mengagak jarak antara bahtera dan pulau kecil yang dikatakan
itu. “30 batu nautika! 30 batu nautika, kapten!” Aloisio
membalas dengan berteriak sekuat hati. Kapten Leandro
hanya mengangkat tangan sahaja sebagai isyarat memahami
agakan jarak itu.
Sementara Kapten Leandro, Aloisio dan anak-anak kapal
bertarung nyawa menguruskan bahtera, di bahagian bawah
geladak pula... Catalina, Renata dan para pengiring berkurung
di dalam bilik. Mereka berdoa memegang rantai salib masingmasing.
Berteleku penuh khusyuk agar diselamatkan dari
hujan dan ribut di lautan ini.
Malang bagi Catalina apabila bahtera bergerak ke sebelah
timur, dia yang ketakutan gagal mengawal kedudukannya.
Akibatnya, dia tergolek ke arah barat dan kepalanya terhantuk
ke dinding bahtera. Catalina terus tidak sedarkan diri.
“Yang Mulia Catalina!” Renata dan para pengiring
menjerit.
Renata segera bergerak mendapatkan Catalina. Memangku
kepala balu bangsawan itu. Renata menjadi cemas apabila
41
Ramlee Awang Murshid
mendapati Catalina tidak bergerak-gerak. Deru nafasnya juga
tidak terasa pada bahagian telapak tangan Renata.
“Yang Mulia Catalina!” Renata menjerit risau.
Renata merasakan riwayat Catalina telah berakhir.
CATALINA tercungap-cungap bernafas. Menggapai semula
nyawanya yang terasa menyempit di dada. Dia terlentang
di atas lantai. Apabila dia bangun, Catalina tersenyum. Dia
amat mengenali tempat ini. Catalina tidak lagi berada di
dalam bahtera. Dan seperti kunjungannya sebelum ini, dia
mendengar suara alunan merdu berkumandang. Kali ini,
dia mendengar Maryam turut sama mengalunkan bait-bait
bahasa yang tidak difahami itu.
“Maryam!” panggil Catalina.
Kemudian, Catalina menggagahkan diri untuk bangkit.
Bergegas-gegas menghampiri astaka, namun Maryam tidak
berada di situ. Catalina memicing anak telinga. Menjuruskan
pendengarannya ke arah datangnya suara Maryam. Dia berlari
ke satu arah. Di situ terdapat sebuah pintu berukiran indah.
Laju Catalina menapak. Dan apabila sudah berada di muka
pintu itu, dia jadi tergamam. Rasa kagum menguasai hati.
Di luar, terdapat sebuah taman yang sangat indah.
Bunga-bunganya berwarna-warni. Aroma wanginya semerbak.
Catalina teragak-agak melangkah keluar. Pandangannya
terarah pada bunga-bunga di taman itu. Malah, tamannya
di Portugal pun tidak mampu menandingi kehebatan taman
ini.
“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai Catalina.” Maryam
menegur dari belakang.
“Taman apa ini, Maryam?” tanya Catalina.
“Suatu hari kelak... kamu akan tahu mengenai taman
ini, wahai Catalina.” Maryam mengukir senyuman, namun
senyuman itu tidak terlihat kerana tertutup oleh sehelai hijab
Cinta Sufi
42
putih tembus pandang.
“Kamu apa khabar, Maryam?” Catalina menghampiri
Maryam.
“Hamba sihat-sihat saja, wahai Catalina. Syukur
alhamdulilah,” ucap Maryam.
“Beta... beta tertanya-tanya wahai Maryam. Kamu ini
siapa sebenarnya?”
“Bukankah hamba telah katakan, wahai Catalina... lelaki
bertanduk berdua itu akan membawamu menemui hamba di
Melaka... Hulu Melaka,” kata Maryam.
“Tapi...” Catalina jadi keliru.
“Biar hamba berterus terang. Hamba datang dari masa
hadapan. Diizinkan ALLAH untuk menemuimu wahai
Catalina di alam ini. Apa yang kamu lihat dan rasai di tempat
ini sebenarnya, terdapat dalam dirimu sendiri. Dan hamba,
telah menemuinya pada ketika keadaan melarang hamba
berbuat demikian.” Keterangan Maryam masih kabur. Biarpun
begitu... dia ‘terlarang’ untuk berterus terang sepenuhnya.
Dia mahu agar Catalina mencari sendiri apa yang telah
diketahuinya kini.
“Lantas, apa yang beta harus lakukan sekarang?” Catalina
masih keliru. Langsung tidak ternampak apa yang dilihat
oleh Maryam.
“Teruskan pelayaran... banyaklah bersabar,” pesan
Maryam.
“Alangkah baik kalau beta boleh terus tinggal di sini,”
ujar Catalina.
“Baliklah wahai Catalina. Pelayaran ke Melaka mesti
diteruskan,” pujuk Maryam.
“Maryam,” keluh Catalina.
Ternyata keliru itu menjadi beban fikiran. Ketidaksabaran
itu membuatkan jiwanya jadi gundah. Namun, dia harus
mematuhi nasihat Maryam. “Teruskan pelayaran... banyaklah
43
Ramlee Awang Murshid
bersabar” - bukan satu perintah, tetapi lebih kepada saranan.
Belayar! Bersabar! Dua perkataan yang mudah dilafazkan,
namun mencabar untuk melaksanakannya. Catalina dapat
merasakan keikhlasan Maryam. Ketulusan wanita berhijab
itu memacu semangatnya. Maryam itu pada hematnya
seorang wanita yang sangat penyayang. Cuma... mengapa
Maryam terlalu menyayangi dirinya? Persoalan itu tetap
tidak terungkai. Jawapannya ada di Melaka. Mahu atau tidak,
Catalina terpaksa akur.
CATALINA sedar semula. Tidak semena-mena bibirnya
mengukir seulas senyuman. Pada pandangannya menyerlah
wajah-wajah Renata, para pengiringnya, Kapten Leandro dan
Aloisio. Riak wajah mereka terpamer perasaan cemas.
“Kita sudah sampai ke Melaka?” Catalina bertanya.
“Kita berlindung di sebuah pulau kecil berhampiran
Teluk Benggala.” Kapten Leandro memberitahu. Dia dan
Aloisio basah kuyup.
“Beta mahu... pelayaran ini diteruskan sekarang,” pinta
Catalina. Perlahan-lahan bangkit dan bersandar tubuh dalam
pelukan Renata.
“Hujan... ribut masih membadai, Yang Mulia,” kata
Aloisio.
“Kita terpaksa bermalam di sini. Seawal pagi besok...
pelayaran akan diteruskan.” Kapten Leandro mencelah.
“Oh begitu,” keluh Catalina.
“Kapten Leandro... Aloisio, minta maaf. Tuan berdua
kena beredar dari sini. Aku khuatir Yang Mulia Catalina tidak
selesa.” Renata meminta dengan penuh kelembutan yang
cukup beradab.
“Err... maafkan kami.” Kapten Leandro yang tertegun
melihat keanggunan Catalina tiba-tiba ‘terjaga’ dari
keasyikannya. “Aloisio... mari kita keluar.” Pembantunya
Cinta Sufi
44
itu tetap akur. Mereka berdua segera meninggalkan kamar
peribadi Catalina.
Pada masa yang sama, Renata juga turut meminta
para pengiring meninggalkan dia dan Catalina di kamar
ini. Dia ingin membincangkan sesuatu dengan Catalina.
Para pengiring mematuhi perintah itu. Catalina pula tidak
menegah.
“Yang Mulia Catalina... Yang Mulia menyebut dan
memanggil nama Maryam sewaktu tidak sedarkan diri
tadi. Aku sangat risau memikirkannya.” Renata meluahkan
kegalauan perasaannya.
Pada pendapatnya, Catalina telah dirasuk ‘sesuatu’ yang
bersifat ghaib dan ‘sesuatu’ itu perlu dibersihkan. Renata
takut jiwa Catalina terperangkap dalam kegelapan.
“Beta sudah tidak sabar hendak sampai ke Melaka,”
gumam Catalina. Renata hampa.
“Rintangan ini sebagai petanda buruk Yang Mulia,” kata
Renata.
“Jangan cuba-cuba menghalang hasrat beta, Renata.”
Catalina tetap berdegil.
“Aku khuatir, banyak lagi malapetaka yang akan
mendatang. Aku risau keselamatan Yang Mulia.” Renata
berlembut lidah, berusaha memujuk agar Catalina
membatalkan hasrat pelayaran ini dan pulang semula ke
Portugal.
“Ini keputusan beta, Renata. Pelayaran ke Melaka
akan tetap diteruskan.” Catalina berkeras menegakkan
kemahuannya. Dia mulai rimas mendengar nasihat wanita
tua itu.
“Err... tapi Yang Mulia...”
“Beta tidak menyukai kata-katamu, Renata. Diam dan ikut
saja kehendak beta, sebelum beta potong lidah kamu.” Catalina
lekas marah apabila ditingkah berulang kali.

“Maaf Yang Mulia Catalina.” Renata menundukkan wajah.
Menyembunyikan kekecewaan yang terpancar di wajahnya.
“Sudah. Keluarlah kamu dari kamar ini. Beta hendak
berehat.” Ketegasan Catalina sememangnya sukar dipujuk
lagi. Dia tetap mempertahankan keputusannya, biar apa pun
rintangan serta cabaran yang tidak diketahui bakal dihadapi
dalam mengharungi pelayaran ke Melaka.
Renata terpaksa berundur dalam keadaan terbongkokbongkok.
Wajahnya tertunduk kerana terlalu malu. Tidak
dinafikan, hatinya terasa sakit diperlakukan sebegitu rupa.
Tidak seperti layanan mendiang Aryas Do Lopo yang sangat
menghormati pendapat serta pandangannya, khususnya
dalam soal pantang larang kehidupan ini.

Bilik dengan Haziq,

1 Mei 2010.



1 comments:

Hajjar Zabidy:) said...

Perkongsian yg bgus..

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates