Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Wednesday, January 20, 2010

Fragmen Ranggau


cover-ranggau-baru









Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...

Alaf 21 terkebelakang?hairan..apapun,selamat membaca fragmen ranggau ini.Kredit untuk Alaf 21 dan ''budak hutan''.Mohon maaf ya..


RANGGAU

Inspektor Solehin memeriksa kereta Proton Iswara yang ditinggalkan di kawasan letak kereta berhampiran Bar Bistro. Riak mukanya tampak tegang. Tidak terdapat tanda-tanda kereta itu dilanggar atau sebarang kesan yang boleh menimbulkan sesuatu telah berlaku ke atas Rusdi.
Ursula yang berdiri di situ sekadar memerhatikan sahaja tingkah laku Inspektor Solehin. Roman wajah Ursula juga tampak tegang. Pencarian Janet kini membawa malapetaka baru pula. Janet telah hilang. Begitu juga dengan Rusdi. Kejadian itu seolah-olah ada hubungkaitnya.
Inspektor Solehin mendekati Ursula. Segumpal keluhan berat melewati kerongkongnya.

“Macam mana?” Ursula bertanya.
“Berat!” Inspektor Solehin menggelengkan kepala. Dia takut sesuatu berlaku pada Rusdi.
“Berat macam mana tu?” Ursula inginkan kepastian. Hatinya kain cemas.
“Saya suspect sesuatu telah berlaku kepada Rusdi. Cuma motifnya masih terlalu awal untuk saya rumuskan,” kata Inspektor Solehin.
“So, apa yang perlu saya buat?” tanya Ursula.
“Buat laporan polis mengenai kehilangan Rusdi. Dengan cara ini kami akan bertindak,” cadang Inspektor Solehin.
Ursula terdiam sejenak. Hatinya berkata, bagaimana aku nak terangkan pada papa? Kehilangan Janet belum dapat diselesaikan, kini timbul pula masalah lain!

“Saya rasa lain macam saja,” keluh Inspektor Solehin meluahkan perasaannya.
Ursula masih tidak bersuara, sekadar memandang lelaki itu dengan wajahnya berkerut. Beban masalah sudah mula dirasakan.
“Petang kelmarin, Rusdi jumpa saya. Dia buat report fasal seorang pemandu yang cuba melanggar kamu berdua.” Ursula tercengang mendengar penjelasan itu. “Saya yakin, Rusdi datang lagi ke tempat ini untuk mencari lelaki Cina tu. Dia kelihatan risau sebab usaha mencari Janet masih belum membuahkan hasil,” sambung Inspektor Solehin lagi. “Mungkin kerana kerisauannya itu dia nekad bertindak sendirian.” Inspektor Solehin mengeluh panjang. “Saya kenal benar Rusdi tu. Dia tak akan berasa senang selagi tanggungjawabnya belum selesai.”
Ursula terdiam, berfikir panjang.

“Dah tiba masanya untuk pihak polis bertindak,” tegas Inspektor Solehin. “Bagaimanapun, pihak kami perlukan kerjasama daripada Cik Ursula.”
Ursula mengangguk. “Ya, dah tiba masanya. Dan perkara ini tak boleh dibiarkan berterusan.” Ursula akur.
“Saya risau,” keluh Inspektor Solehin.
“Saya juga risau tentang keselamatan Rusdi. Kehilangan Janet pula tak boleh diremehkan lagi,” kata Ursula.
“Apa kata, Cik Ursula lakukan sekaligus. Buat report kehilangan Rusdi dan Janet.” Inspektor Solehin menyarankan. Wajah Ursula berkerut.
“Dengan cara itu akan memudahkan pihak kami bertindak.”
“Tak bolehkah pihak polis bertindak saja?” tanya Ursula
“Boleh... itu boleh... tapi pihak kami perlukan kerjasama, Cik Ursula jugak.”

“KERJASAMA?” Lelaki tua itu terkejut.
“Ya, kerjasama, papa. Polis kita cekap. Mereka boleh menyelesaikan masalah itu. Tetapi kita mesti bantu mereka.” Ursula berhujah memujuk Tuan Gimbang.
Tuan Gimbang merengus. Air mukanya tegang.
“Sekarang Rusdi dah hilang, papa. Kehilangan Rusdi berkaitan dengan kehilangan Janet. Kita tak boleh diamkan saja perkara ni, papa.” Ursula berdiri menghadap papanya. Ketika ini mereka dua beranak berada di anjung banglo. Berbual dan berbincang.
Tuan Gimbang masih membisu dan membatu diri. Roman mukanya sahaja yang seringkali menunjukkan reaksi apabila Ursula mengutarakan permasalahan itu.
“Papa? Please!” Ursula merayu.
Tuan Gimbang memandang anak gadisnya itu. Bola matanya bulat dan berkaca. Menerkam pandangan. “Perlukah papa buat begitu?” Dia bersuara agak perlahan tetapi berbaur marah.
Ursula mengangguk. “Demi Janet dan Rusdi, papa,” kata Ursula merayu lagi.

Sejenak Tuan Gimbang melarikan anak matanya. Melontar pandangan ke arah laut. Saujana lautan yang membiru berombak kecil dan memantulkan cahaya matahari yang sudah pun beranjak melintasi garis tepat di atas kepala.
“Papa... please.” Ursula tidak jenuh memujuk.
Tuan Gimbang diam lagi. Otaknya ligat berfikir untuk membuat keputusan. Menimbangkan perkara itu semasak-masaknya. Dia mengela nafas panjang, meraih kekuatan jiwa.
“Kita perlu berusaha, papa. Kita tak boleh biarkan masalah ini berterusan. Lagipun, kita tak rugi apa-apa.” Ursula tidak berputus asa.
Tuan Gimbang mengeluh berat. Menyapu muka dengan kedua-dua belah tapak tangan. Jelas sekali agak sukar untuk dia membuat keputusan. Namun dia jauh lebih tenang menghadapi semua itu berbanding keadaannya sebelum ini.

“Papa sayangkan Janet?” Ursula bertanya.
Secara spontan Tuan Gimbang mengangguk. “Papa juga sayangkan Rusdi.” Terus-terang dia mengatakannya. Memang benar! Sejak dia mengenali Rusdi, dia berasa satu kekuatan menyerap dalam dirinya. Rusdi anak orang lain tetapi Tuan Gimbang berasa anak muda itu macam anaknya sendiri. Rusdi banyak memberi perhatian kepada dirinya yang tua ini. Apabila berbual-bual, mereka berdua selalu berterus-terang dan Rusdilah tempat dia meluahkan rasa hati yang sudah lama dipendamkan.

Ursula? Bukan dia tidak yakin dengan anak gadisnya itu. Tetapi Ursula lebih banyak berfikir tentang dirinya sendiri. Anak gadisnya itu bukan seorang wanita yang sombong. Tetapi Ursula masih terkongkong dalam perasaannya sendiri. Ursula masih mentah menilai perasaan seorang tua seperti dirinya.
Janet? Anak keduanya itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ursula. Janet anak manja. Apa sahaja yang dikehendaki mesti dituruti. Dunianya hanya hiburan semata-mata. Janet masih belum layak memikul sebarang tanggungjawab. Janet terkurung dalam dunia khayalan semata-mata. Masih terlalu mentah dan kadangkala tidak tahu menilai antara yang baik dan yang buruk.

Tuan Gimbang tenggelam dalam fikirannya sendiri. Mencongak-congak satu strategi yang benar-benar memberi manfaat pada diri dan keluarganya. Memikirkan maruah diri dan imej syarikat.
“Papa...”
Tuan Gimbang bangkit semula dari lubuk fikiran yang jauh melayarkan dirinya ketika ini. Tuan Gimbang mengangguk, mengisyaratkan persetujuannya. Wajah Ursula menguntum senyum.
“Papa mahu Ursula sendiri yang buat laporan polis,” tegas Tuan Gimbang.
“Terima kasih, papa.” Ursula melonjak gembira. Lantas dia memeluk tubuh papanya dan mengucup pipinya.

Tuan Gimbang kelihatan malu. Sekadar senyuman yang terukir di bibirnya. Kasih sayang seorang anak menyerap dalam kalbunya.
“Pergi sekarang,” kata Tuan Gimbang. Nada suaranya agak merendah tetapi memerintah.
Ursula mengangguk dan tersenyum. Gembira sungguh hatinya mendengar keputusan papanya itu. Ini bermakna pihak polis akan campur tangan dalam menangani masalah itu. Kemudian Ursula segera beredar dari situ.
Setelah melihat Ursula keluar, Tuan Gimbang segera memutar roda kerusi dengan kekuatan kedua-dua belah tangannya. Dia segera mendapatkan telefon. Gagang diangkat dan nombor didail.
Deringan telefon dibiarkan berpanjangan. Agak lambat Kim menjawab panggilan itu. Tidurnya terlalu lama. Terlalu nyenyak.
Kim tidur sepanjang hari. Rutin hidupnya setiap hari agak aneh. Kim tidak suka keluar rumah pada waktu siang. Dia lebih suka berkurung ataupun tidur sahaja. Pada waktu malam pula dia suka merayau-rayau. Mencari mangsa untuk memenuhi kehendak tuannya. Dia adalah Ranggau dan tuannya itu juga adalah Ranggau. Merekalah Ranggau yang nyata. Hamba kepada Ranggau alam kedua. Walaupun berlainan alam namun sikap mereka sudah sebati. Melanggar dan menderhaka perintah Tuhan.
Suasana samar menyelubungi bilik tidur Kim. Cahaya matahari dari luar sekadar berbalam menembusi langsir tingkap. Kim tidak tahan terkena cahaya matahari yang terlalu terik. Malah sinaran lampu yang terlalu terang juga begitu. Kulit mukanya akan mengelupas, kemerah-merahan dan terasa perit.

Deringan telefon berhenti. Kemudian selang lima saat berdering lagi. Kim merungut panjang. Menyumpah seranah. Tidurnya terganggu. Lambat-lambat dia mengangkat gagang telefon.
“Helo....” Suara Kim serak.
Satu suara bergema menerusi corong telefon. Suara itu memang dikenali. Suara yang memerintah dia melakukan pembunuhan.
Kim segera bangkit, melonjak bangun. Seperti disimbah dengan air, tiba-tiba sahaja Kim berasa segar walaupun pandangannya masih berpinar lagi.
“Helo... ya...” Kim diam sejenak apabila suara menerusi corong telefon itu bercakap. Berhenti sahaja, Kim pun menjawab.
“Ya, aku dah campak dia di bawah bukit. Aku pasti dia dah mati sekarang.”
Kim diam lagi apabila suara itu bercakap. Kim terangguk-angguk. Setelah suara itu berhenti, Kim lekas menjawab, “Ya, aku yakin dia dah mati!” Air muka tampak tegang.

“Ada mangsa baru. Gambar dan butir-butir diri sekejap lagi aku faks. Ingat! Jangan tergopoh-gapah!” kata suara itu.
“Aku akan uruskan!” Kim terangguk-angguk sambil menyelak rambutnya yang kusut ke belakang.
Talian terputus serta-merta apabila perintah itu telah diamanahkan. Kim merengus. Perlahan-lahan dia meletakkan gagang telefon. Dia membaringkan semula tubuhnya di atas katil. Sambil merenung siling dia leka dalam lamunannya. Kim tidak ubah seperti seorang hamba. Akur dan patuh pada perintah.

Sekian,selamat membaca...

Al-Baihaqi,

As-Sidq


0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates